'Politik jijik perlu dihentikan segera'

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Penularan politik jijik menerusi video palsu membabitkan menteri kanan perlu dihentikan segera.

Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Amirudin Shari berkata, perbuatan fitnah menerusi medium itu kini memasuki suatu fasa yang melampau dan memualkan.

Beliau berkata, ketika rakyat dan seluruh negara mengharapkan politik yang memberi harapan untuk perubahan dan pembangunan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Kini, politik menjadi medan fitnah bukannya sebagai wasilah kepada kemaslahatan awam.

"Semalam satu lagi video fitnah disebarkan dan turut dimuat naik ke dalam laman pornografi. Amalan politik sebegini mencemarkan kesucian agama, tradisi dan budaya serta kemaslahatan rakyat khususnya umat Islam di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Besar Selangor itu berkata, pertembungan politik seharusnya berlaku dengan sihat dan menawarkan idea-idea yang mengangkat martabat rakyat dan negara bukannya melalui cara desperado yang kotor.

Katanya, komplot politik jahat yang mengheret rakyat ini seharusnya tidak berlaku lagi di era Malaysia Baharu ini.

"Saya menggesa kepimpinan negara untuk mengambil tindakan yang tegas agar dalang di sebalik penularan video ini dapat segera diheret ke muka pengadilan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak berwajib juga perlu menyekat penularan video dan memberi amaran keras kepada pihak yang terus-menerus mensensasikan fitnah ini kepada khalayak awam," katanya.

Semalam, tular sebuah video baharu berdurasi sembilan minit yang dimuatnaik di Youtube serta Pornhub dan didakwa memaparkan Haziq Abdullah Abdul Aziz terlibat dalam perlakuan intim dengan seorang lelaki mirip seorang menteri kanan.