Wartawan Sinar Harian terima anugerah

Mohamad Yasid (dua, kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Penolong Editor Edisi Tengah, Asmaliza Mansor yang mewakili Sinar Harian pada Majlis Malam Media MPK, malam ini.
A
A

KLANG - Ketelusan Sinar Harian dalam menyediakan laporan dan menyiarkan berita dihargai apabila menerima anugerah sempena Malam Media Majlis Perbandaran Klang (MPK), hari ini.

Artikel 'Rampas Tanah Jika Ingkar' laporan wartawan Azie Yahaya memenangi Anugerah Media MPK bagi kategori media cetak.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, MPK mengiktiraf peranan media dalam menyampaikan laporan dan maklumat kepada masyarakat berkenaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menurutnya, hebahan media membantu masyarakat menerima maklumat terhadap inisiatif dan gerak kerja dilaksanakan secara komprehensif oleh MPK.

“MPK sangat menghargai peranan media dalam menyampaikan maklumat dan informasi kepada masyarakat yang membantu kita melebar luas inisiatif serta gerak kerja dilaksanakan.

“Contohnya, berkenaan isu saya turun padang meminta warga asing di Bandar Sultan Sulaiman membersihkan sampah-sarap, baru-baru ini menjadi viral. Ini kuasa media hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Media 2018 MPK di Dewan Hamzah di sini, hari ini.