Mohd Suhaimi dilantik Pengarah Pendidikan Perak baharu

MOHD SUHAIMI
MOHD SUHAIMI
A
A
A

IPOH - Isu lantikan Pengarah Pendidikan Perak selesai selepas Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali dipilih mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Mohd Suhaimi telah dilantik pada 17 Jun lalu setelah jawatan tersebut kosong sejak tujuh bulan lepas.

"Ya, pengarah pendidikan negeri yang baru sudah dilantik dan akan melapor diri pada Isnin depan," katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, pengarah pendidikan yang baharu itu mempunyai pengalaman lebih 30 tahun terutama dalam bidang perancangan pembangunan pendidikan, polisi pendidikan, pembangunan pendidikan luar bandar, penaziran pendidikan dan latihan keguruan.

Katanya, sebelum bertugas di IPG Kampus Ilmu Khas, beliau telah bertugas di beberapa sekolah menengah, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.

"Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai ketua unit, ketua penolong pengarah, ketua nazir negeri, ketua sektor, timbalan ketua nazir (memangku) dan akhirnya sebagai Pengarah Kampus Ilmu Khas sejak 2 September 2016," katanya.

Artikel Berkaitan: