Kedah pertahan industri padi

Azman (tengah) bersama Eliyas (dari kiri) dan Fouzi (dari kanan) melakukan gimik perasmian pada Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani 2019 anjuran Jabatan Pertanian Kedah di Jalan Kuala Kedah, di sini, hari ini.
Azman (tengah) bersama Eliyas (dari kiri) dan Fouzi (dari kanan) melakukan gimik perasmian pada Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani 2019 anjuran Jabatan Pertanian Kedah di Jalan Kuala Kedah, di sini, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan berusaha mencari mekanisme demi mengekang pengambilan tanah sawah padi untuk kegunaan lain dalam usaha mempertahankan Kedah sebagai negeri Jelapang Padi.

Exco Pertanian dan Asas Tani, Azman Nasrudin berkata, pihaknya mendapati tanah sawah padi di negeri ini untuk menyediakan makanan ruji rakyat Malaysia didapati makin lama makin berkurangan.

Menurutnya, Kedah didapati kehilangan kira-kira 35,000 hektar sawah padi yang ditukarkan kepada kegunaan lain dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

"Dalam tempoh 10 tahun ini, kita mendapati tanah sawah padi berkenaan ditukarkan untuk aktiviti lain seperti pembangunan dan perumahan.

"Untuk itu, kita akan mengambil beberapa inisiatif dalam usaha membendung pengambilan tanah sawah padi, sekaligus mempertahankan Kedah sebagai Jelapang Padi," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani 2019 anjuran Jabatan Pertanian Kedah di Jalan Kuala Kedah, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pertanian Kedah, Eliyas Saad dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Fouzi Ali.

"Sebelum ini, beberapa langkah diambil Mada dan Jabatan Pertanian Kedah demi merealisasikan hasrat itu, dan untuk rancangan masa depan kerajaan negeri akan berbincang dengan kerajaan pusat untuk mengambil langkah lebih komprehensif demi melihat kawasan padi dikekalkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azman berkata, kerajaan negeri akan membuat penelitian berhubung isu itu dalam Konvensyen Padi Kedah tidak lama lagi demi melihat keseluruhan tanah milik persendirian untuk diselamatkan, sekaligus tidak ditukar kepada perumahan.

"Sebagai contohnya, kita mungkin meletakkan kriteria sejumlah hektar tanah tidak boleh diganggu gugat demi memastikan kelangsungan sawah padi," katanya.

Menurutnya, antara usaha diambil kini, pihaknya mengalakkan pesawah yang memiliki sawah padi kira-kira dua hektar untuk melakukan secara estet.

Kata Azman, pihaknya melihat usaha pesawah memperluaskan tanaman secara estet bukan hanya lebih ekonomik, malah mampu meningkatkan pendapatan mereka.