20 wanita golongan asnaf terima barangan spa RM5,000

Nomee Ashikin (duduk, tengah) bersama tenaga pengajar serta peserta program.
Nomee Ashikin (duduk, tengah) bersama tenaga pengajar serta peserta program.
A
A
A

IPOH - Seramai 20 wanita daripada golongan asnaf di negeri ini menerima barangan peralatan kecantikan bernilai RM5,000 setiap seorang bagi membolehkan mereka mengusahakan perkhidmatan spa dan salon untuk menjana ekonomi keluarga.

Menerusi inisiatif Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf Melalui Bidang Salon dan Spa Muslimah anjuran Majlis Agama Islam Perak (MAIPk), kesemua peserta berusia 19 hingga 49 tahun itu perlu mengikuti kursus selama dua bulan bermula April lepas di sebuah spa yang dilantik oleh MAIPk, kursus asas Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan keusahawanan digital.

Salah seorang peserta, Arifah Hassan, 49, berkata, dia menganggap program ini sebagai fardu kifayah dan gembira berpeluang untuk melaksanakannya.

"Program ini telah membantu diri saya capai impian untuk usahakan perniagaan spa dan salon khusus kepada golongan wanita muslimah," katanya.

Malah, ibu tunggal kepada empat anak ini berkata, setelah mengikuti latihan selama dua bulan mulai April lalu itu, ia akan dimanfaatkan sebaiknya selepas ini khususnya menyediakan kemudahan kepada golongan wanita muslimah mendapatkan rawatan kencantikan.

“Sebagai seorang ibu tunggal empat anak, sudah semestinya saya perlu memiliki pendapatan yang mencukupi. Anak sulung saya kini melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsalah (PhD), manakala anak bongsu saya baru berusia 16 tahun.

“Sebab itu, apabila mengetahui sahaja mengenai program ini saya terus daftar tanpa berfikir panjang. Alhamdulillah, kini saya telah menamatkan latihan dan bersedia untuk memulakan perniagaan,” katanya, di sini hari ini.

Arifah yang juga peserta paling senior bagi program berkenaan berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil program berkenaan di Pusat Internet Batu 8 Hulu Kinta yang disempurnakan isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi.

Dalam pada itu, peserta termuda, Aina Safiah Awalludin, 19, berkata, dia begitu gembira kerana dapat mengikuti latihan sempena program berkenaan kerana ia memang menjadi minatnya sejak kecil.

Artikel Berkaitan:

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, berbekalkan modal serta peralatan yang diberikan, dia akan memulakan perkhidmatan menerusi perkhidmatan kecantikan yang berkonsepkan spa bergerak.

Aridah dan Aina Safiah bersama sijil masing-masing.
Aridah dan Aina Safiah bersama sijil masing-masing.

“Spa bergerak ini adalah langkah pertama saya untuk memulakan perniagaan yang sememangnya menjadi impian saya selama ini.

“InsyaALLAH, saya akan memanfaatkan segala yang saya pelajari sepanjang mengikut program ini dan semoga saya bergelar usahawan yang berjaya suatu hari nanti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Humaira Muslimah Salon dan Spa, Harisun Kassim berkata, pihaknya berbangga kerana telah diberikan amanah oleh MAIPk untuk memberi khidmat latihan, bimbingan dan nasihat kepada para peserta.

Malah katanya, pihaknya juga akan memantau kesemua peserta ini sehingga November depan untuk memastikan mereka benar-benar menjadi usahawan yang berjaya.

“Kita akan pantau untuk pastikan mereka berjaya dan seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Memang setiap tahun kita akan adakan kursus ini termasuk dengan urusan makanan serta penginapan.

“Kita juga jadikan pusat internet ini sebagai tempat pembelajaran bagi semua peserta agar mereka kelak akan mampu menggunakan kaedah terkini untuk pasarkan servis (spa dan salon) yang disediakan selaras dengan kehendak pasaran hari ini yang lebih cenderung kepada perniagaan atas talian (online),” katanya.

Sementara itu Nomee Ashikin berharap agar lebih banyak perkhidmatan spa dan salon muslimah yang patuh syariah akan dapat diwujudkan di negeri ini.

Katanya, perkara berkenaan secara keseluruhannya akan membantu menyelesaikan permasalahan wanita muslimah yang mahu berkunjung ke premis spa dan salon khususnya bagi mendapatkan rawatan kecantikan.

“Dengan adanya spa dan salon muslimah dan patuh syariah ini, golongan muslimah tidak perlu lagi risau untuk dapatkan rawatan kecantikan, golongan bertudung khasnya tak akan risau kena buka tudung depan orang dan sebagainya,” katanya.