Turun caj pengurusan insurans kediaman penjawat awam

Azih Muda
Azih Muda
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menurunkan caj pengurusan bagi insurans kediaman yang dianggap tinggi dan membebankan penjawat awam.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, caj pengurusan sebanyak 45 peratus bagi premium insurans kediaman yang ditetapkan LPPSA adalah terlalu tinggi menyebabkan kadar bayaran bulanan untuk pinjaman perumahan meningkat sekali gus menyukarkan penjawat awam memiliki rumah.

“Daripada 45 peratus caj pengurusan itu, sebanyak 15 peratus komisen telah diambil oleh LPPSA manakala sekitar 30 peratus komisen pula diambil oleh pihak insurans dan ejen.

“Justeru kami minta LPPSA untuk mengkaji semula caj pengurusan dalam perlindungan insurans itu supaya penjawat awam tidak perlu membayar premium yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis Jalinan Kasih Silaturrahim Aidilfitri Cuepacs 2019 di sini, hari ini.

Azih berkata perkara itu adalah antara agenda yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs bagi sesi 2016 hingga 2019 yang berlangsung di ibu negara, semalam.

Menurutnya, sehingga kini, kira-kira 55 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam telah membuat pinjaman perumahan daripada LPPSA.

Beliau berkata Ceupacs akan mengemukakan isu itu kepada Bank Negara secepat mungkin dan berharap caj pengurusan itu dapat diturunkan agar lebih ramai penjawat awam terutama golongan muda mampu membeli rumah.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah yang ditemui pada majlis itu berkata pihaknya akan meneliti isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Paling penting sekali, apa jua perkara yang ingin dilaksanakan nanti tidak memberi beban kepada rakyat,” katanya. - Bernama