'Jangan cepat melatah dengan usul hapus sekolah vernakular'

Kumaresan
Kumaresan
A
A
A

ALOR SETAR - Kaum Cina dan India dinasihatkan agar tidak cepat melatah berkenaan usul menghapuskan sekolah vernakular yang dibawa oleh wakil Muslimat Salamiah Md Nor dalam Muktamar Pas, baru-baru ini.

Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Kedah, BK Kumaresan berkata, seperti kebiasaan para perwakilan akan tampil membawa usul masing-masing untuk dibentangkan di Muktamar.

Namun katanya, tidak semestinya usul-usul berkenaan akan menjadi dasar parti kerana ia perlu melalui pelbagai peringkat perbincangan terlebih dahulu.

"DHPP juga mempunyai lebih 15,000 ahli bukan Islam, dan sudah pasti apa pun dasar yang menyentuh sensitiviti kaum, kita akan berdialog terlebih dahulu dengan Pas Pusat untuk mencapai keputusan bersama," katanya menerusi suatu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, beliau juga memohon kerjasama semua pihak untuk berhenti membuat sebarang laporan polis.

"Saya sangat berharap rakyat tidak menjadi terlalu beremosi dan jangan buat sesuatu keputusan dalam keadaan terburu-buru," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai sesi perbahasan ucapan dasar, perwakilan DHPP Kong Tuck Wah yang menyokong pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Persendirian Cina (UEC), Kumaresan berkata, ia hanya bersifat cadangan oleh seorang perwakilan.

"Bagaimanapun, DHPP pusat mempunyai pendirian yang tetap menyokong dasar-dasar parti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam muktamar Pas yang berlangsung baru-baru ini, Salamiah tampil membawa usul menggesa kerajaan PH agar menghapuskan sekolah vernakular atas alasan tidak menyumbang kepada perpaduan kaum.

ARTIKEL BERKAITAN: Hapuskan sistem pendidikan vernakular-Pas