SPRM digesa siasat empat 'projek sakit' di Terengganu

RAJA BAHRIN
RAJA BAHRIN
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat empat 'projek sakit' yang didakwa melibatkan projek mega berprofil tinggi di Terengganu.

Antara projek yang didakwa masih belum diselesaikan ialah melibatkan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Taman Ilmu Tembila di Besut yang masih terbiar, Kompleks Bebas Cukai, Keyir dan pembelian dua bas amfibia.

Pengerusi PH Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ketiga-tiga projek yang ada antaranya masih terbengkalai dan masih belum diselesaikan itu membabitkan kos hampir RM1 bilion.

"Projek sakit di negeri ini bertambah dan berterusan bermula daripada insiden runtuhan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bernilai RM300 juta.

"Seterusnya berlaku lagi 'projek sakit' apabila projek Taman Ilmu di Tembila, Besut yang bernilai RM320 juta terbengkalai serta projek bagi Kompleks Bebas Cukai Kenyir yang bernilai RM300 juta yang turut terbengkalai," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes membabitkan runtuhan bumbung stadium itu telah dilaporkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), namun tiada tindakan kerana pemborong bahan utama (bumbung) tidak mengambil tindakan.

"Sehingga kini kita tidak mengenal pasti siapa jurutera bertanggungjawab mereka bentuk bumbung (submitting person) yang runtuh walau pun perunding projek berkali-kali meminta minta maklumat daripada pemborong.

"Keadaan itu menyebabkan berlakunya banyak kecurian barangan termasuk jentera generator elektrik, kabel utama dan barang elektronik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi kes Taman Ilmu pula, beliau mendakwa, projek itu telah terbengkalai dan berlakunya kecurian barangan seperti jentera utama.

"Kita mendapat maklumat kontraktor dari negara Korea telah menyaman kerajaan negeri atas ganti rugi penipuan dan isu penyelewengan yang dilaporkan.

"Kedua-dua kes itu (bumbung stadium runtuh dan Taman Ilmu) telah dilaporkan kepada SPRM beberapa tahun lalu, namun, tiada penemuan yang memuaskan sehingga hari ini.

"Bagi Projek Bebas Cukai Kenyir pula, ia terbengkalai dan terbiar setelah pemborong meninggalkan projek berkenaan dan sehingga kini tiada pihak yang didakwa berhubung perkara itu," katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai pembelian dua buah bas amfibia, katanya, bas dua alam dari negara Malta itu dibeli oleh kerajaan negeri hampir lapan tahun dengan bayaran RM3 juta yang telah dijelaskan oleh kerajaan Terengganu.

"Malangnya, hanya sebuah bas yang dihantar tetapi telah rosak dan tidak dapat digunakan sehingga hari ini manakala sebuah lagi bas tidak pernah dihantar sehingga hari ini walau wang telah dibayar," katanya.

Raja Bahrin turut mempersoalkan mengapa projek sakit di negeri ini memakan masa yang begitu lama untuk diselesaikan walaupun jawatan Menteri Besar Terengganu telah tiga kali bertukar tangan.

"Sudah tiga Menteri Besar Terengganu yang berlainan tetapi masalah masih berterusan dan tiada penyelesaian tampa usaha bersungguh-sungguh daripada pihak berkuasa.

"Bayangkan RM1bilion telah dibelanjakan dalam tempoh hampir 10 tahun tetapi ketiga-tiga projek itu tidak boleh digunakan oleh rakyat pembayar cukai," katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau berharap supaya SPRM di bawah pentadbiran baharu akan menyiasat kes terbabit.

"Nilai akauntabiliti mesti disemai di dalam hati dan budaya kerja Malaysia baru. Mereka yang tidak faham atau berpura-pura tidak faham mengatakan kes-kes lama adalah untuk membalas dendam.

"Itu adalah pandangan yang salah. Kalau budaya lama itu diteruskan Malaysia akan kembali menjadi negara dunia ketiga selama-lamanya dengan kekayaan negara terus 'dirompak' oleh pemimpin sendiri," katanya.