Pesara, anggota polis tidak mengaku seleweng kad minyak

Kedua-dua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas pertuduhan pecah amanah menggunakan kad inden minyak milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 2016.
Kedua-dua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas pertuduhan pecah amanah menggunakan kad inden minyak milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 2016.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pesara polis dan seorang anggota yang masih bertugas di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah atas pertuduhan pecah amanah menggunakan kad inden minyak milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 2016.

Tertuduh, Zahari Daud, 59, dan Mior Mohd Syamsul Jalaluddin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 27 pertuduhan terhadap mereka yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut empat pertuduhan terhadap Zahari, tertuduh sebagai seorang yang diamanahkan kad inden minyak milik PDRM didakwa dengan curangnya melakukan pecah amanah dengan menggunakan harta itu bagi pembelian bahan api diesel membabitkan nilai RM7,833.43.

Kesalahan itu dilakukan pada 30 November dan 2 Disember 2016 di empat stesen minyak di sekitar negeri ini.

Manakala Mior Mohd Syamsul berdepan 23 pertuduhan melibatkan kesalahan sama membabitkan nilai RM13,851.42 yang dilakukan di sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Perak sejak Januari 2016 hingga Mei 2017 lalu.

Justeru kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minima dua tahun dan maksima 20 tahun, serta dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal mencadangkan jaminan RM15,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan terhadap Zahari manakala RM5,000 bagi setiap 23 pertuduhan terhadap Mior Mohd Syamsul.

Ahmad Sazali bagaimanapun membenarkan tertuduh warga emas itu diikat jamin RM15,000 manakala RM25,000 bagi Mior Mohd Syamsul.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut menetapkan 22 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Mior Mohd Syamsul diwakili Peguam Mohd Fadzlullah Ramlee manakala Zahari tidak diwakili peguam.