PDRM ada task force siasat dakwaan Langkawi hab dadah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mempunyai pasukan task force tersendiri bagi menyiasat dakwaan bahawa Pulau Langkawi dijadikan hab penyeludupan dan penagihan dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya telah memantau dan membendung perkara berkenaan sebelum ini.

"Usaha itu memang telah dibuat dari hari ke hari. Bahkan kami dah mempunyai jawatankuasa bagi membendung aktiviti pengedaran dadah dan penagihan dadah khususnya di Pulau Langkawi.

"Polis akan berikan statistik bagi menunjukkan semua usaha yang telah dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi PDRM (KPDRM) ke-84 di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat laporan media tempatan mendedahkan bahawa aktiviti penyeludupan dan penagihan dadah banyak berlaku di pulau peranginan terkenal itu.

Dalam perkembangan lain, Mazlan turut mengulas mengenai gesaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut keadilan bagi Teoh Beng Hock yang ditemui mati pada 2009 di Plaza Masalam di Shah Alam semasa disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mazlan berkata tindakan mengklasifikasi semula siasatan berhubung kes kematian Teoh adalah keputusan Pejabat Peguam Negara.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana ditahan secara salah dan bukan bunuh seperti yang diarahkan peguam negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak perlu komen lebih daripada keputusan pendakwa raya. Kami jalankan siasatan mengikut apa yang ditetapkan oleh pihak pendakwa raya. Lebih elok soalan ini ditujukan kepada pihak pendakwa raya," katanya.

Pengerusi NGO, Teoh Beng Hock Trust For Democracy, Ng Geok Chee memaklumkan pengklasifikasian semula itu bercanggah dengan penghakiman Mahkamah Rayuan pada 2014 yang memutuskan bahawa seorang atau lebih individu termasuk pegawai SPRM menyebabkan kematian Beng Hock.

Ketika diminta mengulas mengenai kes Haziq Abdullah Abdul Aziz, lelaki yang mengaku sebagai individu dalam video lucah yang mengaitkan seorang menteri Kabinet, Mazlan berkata tiada tangkapan terkini dan pihaknya masih meneruskan lagi siasatan.

Sebelum ini, Haziq Abdullah, 27, yang juga Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, ditahan pada 14 Jun lepas oleh sepasukan pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman bagi membantu siasatan polis.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Pengerusi KPDRM, Datuk Seri Ayub Yaakob. - Bernama