KPWKM, Prasarana kerjasama tangani salah guna fasiliti OKU

 Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengeratkan kerjasama dengan Prasarana Malaysia Bhd, bagi menangani isu-isu utama yang melibatkan salah guna lif, kawasan parkir dan tandas yang dikhaskan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) oleh orang awam.

Timbalan Menterinya Hannah Yeoh berkata, sesi dialog bersama golongan OKU di kementeriannya di Putrajaya semalam mendapati bahawa ketiga-tiga isu ini antara masalah yang sering diutarakan golongan berkenaan.

"Selepas sesi dialog semalam, kementerian hari ini bermesyuarat dengan pihak Prasarana pula untuk bersama-sama berbincang bagaimana cara menangani isu ini kerana ia terlalu kerap berlaku bagaikan tiada pengawasan," katanya kepada pemberita pada sidang media mesyuarat bersama Prasarana di sini hari ini.

"Selain tindakan lebih tegas dikenakan pihak Prasarana kepada mereka yang menyalahguna ketiga-tiga fasiliti yang dikhaskan untuk OKU ini, kementerian juga telah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk lebih tegas dalam memantau penyalahgunaan fasiliti berkenaan di kawasan awam,” tambahnya.

Dalam pada itu, Yeoh turut menggalakkan lebih ramai golongan OKU mendaftarkan diri mereka dengan Jabatan Pembangunan OKU (dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat) untuk mendapatkan kad khas yang akan memberi banyak manfaat kepada mereka.

"Antara manfaat yang bakal diterima pemegang kad khas OKU itu ialah diskaun harga tiket 50 peratus apabila menggunakan kemudahan pengangkutan awam terutamanya yang disediakan oleh Prasarana.

"Jika kita lihat data dikeluarkan Prasarana iaitu purata ‘trip’ perjalanan bulanan oleh golongan OKU adalah sekitar 55,000 ‘trip’, jadi ternyata pengangkutan awam antara pilihan terbaik untuk golongan itu bergerak dari tempat ke tempat," kata Yeoh.

Beliau berkata setakat April 2019, sejumlah 540,986 kad OKU telah dikeluarkan kementerian itu, dengan golongan OKU fizikal mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 37 peratus, OKU daripada segi masalah pembelajaran (33 peratus) dan OKU penglihatan (8 peratus).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain pula berkata pihaknya akan bekerjasama dengan kementerian untuk melaksanakan kursus khas dinamakan Disability Equality Training (DET) dan Disability Related Service Training (DRST) pada Julai dan Ogos ini bagi melatih staff Prasarana untuk lebih memahami kehendak dan keperluan golongan OKU terutama melibatkan penggunaan kenderaan awam. - Bernama