Klasifikasi semula kes Beng Hock arahan Peguam Negara

Mazlan Mansor
Mazlan Mansor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan kes kematian Teoh Beng Hock yang diletakkan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu penahanan secara salah adalah keputusan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, beliau tidak perlu memberikan komen lanjut berkenaan perkara itu memandangkan ia adalah keputusan pihak pendakwa raya.

“Lebih elok soalan ini ditujukan kepada pihak pendakwa raya (Peguam Negara).

“Saya tidak boleh komen lebih daripada itu,” katanya apabila ditanya media mengenai kumpulan yang menuntut keadilan bagi kematian Beng Hock dan menggesa penjelasan Peguam Negara yang mengklasifikasikan semula siasatan polis berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Koperasi Polis Diraja Malaysia ke-84 di ibu negara.

Semalam, kumpulan yang menuntut keadilan bagi kematian Beng Hock menggesa penjelasan peguam negara berhubung klasifikasi semula siasatan polis berhubung kes berkenaan.

Pengerusi Teoh Beng Hock Trust For Democracy, Ng Geok Chee berkata, mereka difahamkan bahawa polis membuka semula siasatan kematian Beng Hock di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan bagi penahanan secara salah.

Geok Chee dalam kenyataannya berkata, klasifikasi semula itu bercanggah dengan penghakiman Mahkamah Rayuan pada 2014 yang memutuskan bahawa seorang atau lebih individu termasuk pegawai SPRM menyebabkan kematian Beng Hock.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Julai 2009, Beng Hock yang merupakan setiausaha politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di tingkat 5 Plaza Masalam di Shah Alam beberapa jam selepas beliau dioal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di pejabatnya di tingkat 4 bangunan sama.

Suruhanjaya Siasatan Diraja menyimpulkan Beng Hock didorong untuk membunuh diri oleh cara soal siasat agresif pegawai SPRM. Ia turut menyalahkan tiga pegawai atas cara agresif mereka yang dikatakan melanggar prosedur.