Pendulang emas nafi aktiviti perlombongan tidak terkawal

Aktiviti melombong emas dihentikan susulan kenyataan pemimpin PH Terengganu itu. (Gambar kecil: Alias Yusof)
Aktiviti melombong emas dihentikan susulan kenyataan pemimpin PH Terengganu itu. (Gambar kecil: Alias Yusof)
A
A
A

MARANG - Pendulang emas menafikan laporan wujudnya aktiviti perlombongan emas tidak terkawal di daerah ini sehingga mampu memberi kesan kepada alam sekitar dan penduduk.

Wakil pendulang, Alias Yusof, 55, mendakwa kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mengenai aktiviti itu adalah tidak tepat.

Beliau menyifatkan kenyataan pemimpin PH Terengganu itu mengenai aktiviti perlombongan berkenaan hanya kerana kepentingan politik dan mahu menjatuhkan pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita nampak sasarannya kepada kerajaan negeri, hanya sebab politik. Bagi orang kampung kami tersepit untuk cari makan. Aktiviti ini berlarutan lebih 30 tahun dan tiada masalah dari segi keselamatan.

"Dari kenyataannya disebut atas kapasiti melombong kita bukan melombong tetapi mendulang. Bila fokus melombong dia fikir akan berlaku seperti di Kelantan, dikhuatiri mencemarkan alam sekitar.

"Kita tidak guna asid dan tak ada mesin pun, cuma guna (jentera) dan enjin sedut serta dulang. (Timbalan) menteri (Raja Kamarul Bahrin) seperti tidak bekerja dan hanya mendapat maklumat luar sahaja.

"Sepatutnya kita pemimpin, sebagai (timbalan) menteri kita turun ke bawah, turun padang, berjumpa. Jika ia dilakukan secara haram ambillah tindakan supaya ia dapat dijalankan secara halal," katanya, hari ini.

Beliau kesal kerana kenyataan Raja Kamarul Bahrin telah menutup punca rezeki lebih 100 pendulang emas sekitar Lubuk Mandi di sini yang kini kehilangan mata pencarian kerana terpaksa menghentikan aktiviti itu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Raja Kamarul Bahrin meminta kerajaan negeri memberi perhatian terhadap aktiviti perlombongan emas di Marang bagi memastikan ia tidak memberi kesan kepada penduduk di kawasan sekitar.

Raja Kamarul Bahrin yang juga merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, ia perlu dikawal bagi memastikan segala peraturan dan piawaian dipatuhi.

“Kerajaan negeri wajar memberi perhatian terhadap aktiviti perlombongan emas di Marang sama ada yang berlesen ataupun tidak berlesen demi keselamatan dan kesihatan penduduk di sekitar kawasan itu.

“Keadaan di situ berbeza dengan perlombongan di Kelantan yang dibuka agak jauh dari kawasan penduduk. Kawasan perlombongan di Marang mempunyai banyak kampung tradisi yang berdekatan malahan aktiviti itu dilakukan berhampiran kediaman,” katanya menerusi satu kenyataan, kelmarin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kawal aktiviti perlombongan emas di Marang

Mengulas lanjut, Alias turut memaklumkan aktiviti mendulang di daerah itu kebanyakannya dijalankan di atas tanah persendirian dan sentiasa dipantau pihak berkuasa berkaitan sejak sekian lama.

"Malah pendulang tidak mematuhi peraturan ditetapkan juga dikenakan saman sebelum ini namun aktiviti yang menjadi punca rezeki mereka ini kini terpaksa dihentikan sama sekali susulan kenyataan itu," katanya.