Cubaan seludup mata wang bernilai RM207,000 tumpas

Pengarah Kastam Johor, Datuk Mohammad Hamidan Maryani (dua dari kiri) menunjukkan gambar barang kes penyeludupan di Muar.
Pengarah Kastam Johor, Datuk Mohammad Hamidan Maryani (dua dari kiri) menunjukkan gambar barang kes penyeludupan di Muar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan cubaan penyeludupan mata wang tanpa pengikraran di terminal feri Kompleks Jeti Penumpang Muar, 14 Jun lalu.

Kejayaan itu dilakukan oleh Unit Pemeriksaan Penumpang, Bahagian Perkastaman, JKDM Muar.

Pengarah Kastam Johor, Datuk Mohammad Hamidan Maryani berkata, mata wang tanpa pengikraran berjumlah RM207,000 itu ditemui dalam sebuah bagasi milik seorang lelaki warga Indonesia berusia 29 tahun.

"Hasil pemeriksaan dijalankan terhadap bagasi dan pemilik bagasi seorang lelaki warga Indonesia, didapati imej mesin pengimbas bagi bagasi tersebut menunjukkan keraguan.

"Hasil pemeriksaan rapi ke atas bagasi tersebut telah menjumpai wang tunai Ringgit Malaysia yang dipercayai melanggar Akta Kastam 1967. Kiraan ke atas semua mata wang yang ditemui adalah sebanyak RM207,000," katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini hari ini.

Mohammad Hamidan berkata, susulan daripada penemuan tersebut, lelaki warga asing terbabit yang dipercayai ada kaitan dengan kes telah ditahan manakala barang kes disita.

Katanya, suspek ditahan reman selama 14 hari bermula 15 hingga 28 Jun ini, bagi membantu siasatan dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(f) Akta Kastam 1967 dan sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(iii)(aa) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada sidang media sama, beliau turut memaklumkan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Gelang Patah juga berjaya mematahkan kes sama melibatkan pelbagai mata wang di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, menghala ke Singapura.

Katanya, mata wang tanpa pengikraran itu ditemui dalam empat kotak di bahagian belakang bonet sebuah kereta jenis Honda Accord hasil pemeriksaan rapi dilakukan.

"Kiraan ke atas semua mata wang yang ditemui berjumlah kira-kira RM6.356 juta," katanya.