Industri gas asli boleh main peranan penting

Mohd Radzi. - Foto Bernama
Mohd Radzi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Industri gas asli Malaysia boleh memain peranan penting dalam memacu kemampanan masa depan negara.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sebagai pengeksport gas asli cecair keempat terbesar dunia, Malaysia memegang kedudukan penting dalam pasaran dunia.

“Prospek masa depan industri itu cerah, dengan permintaan dunia diunjurkan meningkat dalam dekad akan datang.

“Trajektori pertumbuhan ini mencerminkan aspirasi negara-negara di dunia untuk meningkatkan kemakmuran, dan pada masa yang sama memastikan kemampanan,” katanya dalam ucapan pada Simposium Gas Malaysia (MyGas) 2019, anjuran Persatuan Gas Malaysia (MGA) di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun ekonomi dunia kini mencabar, Malaysia mencatatkan peningkatan ekonomi yang konsisten, hasil daripada asas-asas kukuh ekonomi serta kepelbagaian sektor yang kukuh.

“Memandangkan negara mahu mengekalkan momentum, industri minyak dan gas, yang merupakan penyumbang pendapatan eksport kedua tertinggi Malaysia, sudah pastinya merupakan penyumbang utama perdagangan negara.

"Pembangunan projek mega berkaitan industri minyak dan gas, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi pemangkin kepada peningkatan kemahiran tenaga kerja, terutama di kawasan persekitaran projek.

"Kesan limpahan industri ini juga membolehkan pertumbuhan rantaian nilai ekonomi hiliran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Radzi berkata, gas asli memainkan peranan penting sebagai antara sumber tenaga utama di negara ini, dengan menyumbang 40.7 peratus pada 2016.

Beliau juga berkata berikutan pergerakan iklim dunia untuk mengurangkan pelepasan karbon, gas asli kini boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam peralihan Malaysia kepada gabungan tenaga lestari.

Sementara itu, presiden MGA Hazli Sham Kassim berkata, selari dengan permintaan global untuk tenaga bersih, Malaysia menetapkan matlamat untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu negara sebanyak 20 peratus dan merealisasikan penjimatan sebanyak lapan peratus menerusi kecekapan tenaga menjelang 2025.

Beliau berkata berikutan negara di seluruh dunia meletakkan dasar yang menyokong peningkatan penggunaan gas asli berdasarkan manfaatnya kepada alam sekitar, dianggarkan lebih 70 peratus permintaan tenaga akan dipenuhi oleh gas dan gabungan tenaga boleh baharu menjelang 2035, dengan gas asli membekalkan lebih daripada 40 peratus permintaan tambahan.

"Berdasarkan prospek ini, pelan tindakan menyeluruh perlu disediakan dengan persetujuan semua pihak berkepentingan yang berkaitan.

“Pelan tindakan itu perlu meliputi keseluruhan peluang dan cabaran dalam keseluruhan rantaian bekalan, memanfaatkan permintaan gas premium, menggalakkan peruntukan yang cekap dan memanfaatkan sumber bagi memastikan jaminan tenaga Malaysia untuk jangka panjang.

“Menerusi pelan tindakan gas asli yang jelas untuk kemampanan industri itu, kita mengharapkan sektor gas dapat menyokong pertumbuhan sosioekonomi Malaysia yang padu,” kata Hazli Sham. - Bernama