San Francisco larang jualan rokok elektronik

Bandar San Francisco laksana larangan menjual rokok elektronik. - Gambar hiasan
Bandar San Francisco laksana larangan menjual rokok elektronik. - Gambar hiasan
A
A
A

SAN FRANCISCO - San Francisco menjadi bandar pertama di Amerika Syarikat (AS) melarang penjualan dan pengeluaran rokok elektronik (e-rokok).

Badan perundangan bandar tersebut semalam sebulat suara meluluskan ordinan yang menurut para penyokong amat perlu susulan kesan terhadap kesihatan awam akibat peningkatan penggunaan e-rokok dalam kalangan golongan muda.

Menurut ordinan terbabit, produk e-rokok yang dijual di kedai atau dalam talian di San Francisco memerlukan kelulusan daripada pihak berkuasa kesihatan persekutuan, yang tidak wujud buat masa ini.

Pihak berkuasa kesihatan AS bimbang ekoran peningkatan populariti e-rokok yang membolehkan penggunanya menyedut cecair nikotin yang selalunya berperisa buah-buahan.

Sementara itu, Datuk Bandar San Francisco, London Breed yang mempunyai tempoh 10 hari untuk menandatangani undang-undang tersebut mengesahkan akan berbuat demikian.

"Kita perlu bertindak demi melindungi kesihatan golongan muda San Francisco dan mengelakkan generasi seterusnya daripada menjadi ketagih terhadap produk ini," kata Breed.

Menurutnya, syarikat e-rokok menyasarkan anak muda dalam iklan dan menjadikan mereka ketagih terhadap produk nikotin.

Jumlah anak muda AS yang menggunakan e-rokok meningkat 1.5 juta pada tahun lalu dengan kira-kira 3.6 juta pelajar sekolah menengah dan sekolah tinggi menggunakan produk vaping. - AFP

Artikel Berkaitan: