'Saya cuba lari daripada....'

No Image Caption
A
A
A

JIKA pengarah atau penerbit lain berlumba-lumba mengikut perkembangan semasa dengan menghasilkan drama dan filem bergenre romantis atau kisah cinta, lain pula dengan selebriti serba boleh ini.

Kejayaan filem televisyen (FTV) The Hantus arahan Nabil Ahmad beberapa tahun lalu telah mendorongnya untuk terus berkarya.

Terbaharu, pelawak dan pengacara ini telah tampil dengan FTV terbaharu arahannya iaitu #Gostan yang disiarkan di saluran Astro First Eksklusif.

FTV ini menampilkan barisan pelakon tiga generasi seperti Wafiy Ilhan Johan, Akhbar Latefi, Syamim Razii, Aniq Iffat, Hisham Hamid, Zalif Sidek, Hazama, Ajak Shiro, Sangeeta Krishnasamy, Ropie Cecupak dan Bell Ngasri.

No Image Caption

Diterbitkan oleh KMN Productions Sdn Bhd, FTV berdurasi 90 minit itu juga merupakan idea asal oleh Nabil sendiri dan skrip ditulis oleh Arbi Suffian Rozlan.

Berkongsi mengenai pembikinan #Gostan, Nabil mengakui ilham menghasilkan jalan cerita FTV ini adalah daripada filem Aziz M Osman, XXRay.

Jelas selebriti berusia 36 tahun ini, dia sebolehnya tidak mahu mengikuti trend penghasilan drama, telefilem atau FTV yang menjurus kepada kisah cinta atau naskhah yang sedih.

Artikel Berkaitan:

“Saya akui amat menyukai karya abang long (Aziz) dan saya pelik kenapa tidak ada produksi atau penerbit yang berani untuk terbitkan jalan cerita seperti XXRay walaupun teknologi masa kini lebih hebat lagi.

“Bagaimanapun ada kelainan antara Gostan dan XXRay, tapi saya tak kisah kalau ada yang nak membandingkan.

“Apa yang penting, saya cuba lari daripada menghasilkan karya stereotaip, yang sedih mengundang air mata, lebih-lebih lagi kita masih dalam mood berhari raya, sepatutnya kita bergembira dan bergelak ketawa,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Nabil, dia seseorang yang mementingkan usaha dalam berkarya dan tidak sekadar tangkap muat dalam menyiapkan kerja.

“FTV ini menampilkan pelakon tiga generasi, bukan itu sahaja dalam 125 babak yang ada, lebih 30 peratus disuntik dengan kesan khas (CGI).

“Saya sukakan sesuatu naskhah yang lain daripada lain, bila orang tonton, orang nampak effort yang cuba kami berikan,” ujarnya.

Penggambaran FTV ini berlangsung selama dua minggu bermula Februari lalu melibatkan lokasi di sekitar Lembah Kelang dan Sekinchan.

Nabil berkata, apa yang diharapkan penonton dapat menerima kelainan yang cuba diberikan dan terhibur menyaksikan FTV itu.

#Gostan mula menemui peminat sejak 15 Jun lalu di saluran Astro 480 dan di platform digital, On Demand.

Dengan harga istimewa sebanyak RM10.00 (tidak termasuk cukai), penonton boleh menonton #Gostan berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.

Kisah empat sekawan

#Gostan berkisarkan tentang persahabatan empat sekawan yang telah bermula sejak mereka semua berumur tujuh tahun.

Cerita bermula dengan tiga orang kawan iaitu Pomi, Wok dan Munir. Mereka sangat menantikan bulan Ramadan dan Syawal yang bakal muncul.

Ketiga-tiga mereka mempunyai karektor yang berbeza namun misi mereka sama, iaitu untuk mengumpul seberapa banyak duit raya yang boleh semasa hari raya.

Ketika hari raya mereka telah mengutip duit raya di sekitar kampung sehinggalah mereka terjumpa seorang budak yang sedang mengutip tin dan mengumpul kotak di hari raya.

Mereka berasa terharu selepas budak pengemis itu tidak dapat merasai kemeriahan raya disebabkan keadaan hidupnya.

No Image Caption

Jadi mereka bersepakat membantu budak bernama Muksin itu. Bermula dari itu, hubungan mereka menjadi akrab dan Muksin telah diambil sebagai anak angkat seorang saintis di kampung mereka.

Zaman persekolahan mereka penuh nostalgia dan sukar dilupakan. Sehinggalah di hujung persekolahan, Pomi, Wok dan Munir bersedih kerana Muksin bakal meninggalkan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Selepas 19 tahun, Pomi, Wok dan Munir sudah mempunyai kerjaya dan keluarga masing-masing. Namun, kehidupan mereka masing-masing mempunyai masalah yang tersendiri.

Kepulangan Muksin dari luar negara sempena majlis reunion telah membuatkan mereka bertiga teruja untuk berjumpa semula Muksin dan telah menjadi titik permulaan terhadap perubahan hidup mereka.

Muksin berasa terpanggil untuk membantu kehidupan rakan-rakannya dengan menggunakan mesin masa untuk kembali ke masa lampau dan cuba mengubah nasib hidup rakan-rakannya.

Bolehkah mereka kembali semula ke masa kini, tanpa ada sebarang perubahan dan yang paling penting, berjumpa semula keluarga masing-masing? Jawapannya dengan menonton #Gostan.