Empat kes baharu Chikungunya di Simpang Kuala

Semburan racun serangga dilakukan dalam sebuah kedai ketika aktiviti gotong royong Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) semalam. (Gambar kecil: Norhizan)
A
A

ALOR SETAR - Empat kes baharu penyakit Chikungunya dikesan, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 19 kes, setakat hari ini.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar mengesan empat kes terbabit di lokaliti baharu, iaitu di Simpang Kuala, pada malam Isnin lalu.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan terbaharu berkaitan penyakit disyaki Chikungunya itu daripada kalangan peniaga dan penduduk sekitar Simpang Kuala.

“Kita jalankan siasatan dengan segera pada Selasa, menerusi ujian darah dan mendapati empat individu berumur lingkungan antara 39 - 60 tahun disahkan positif Chikungunya. Keadaan kesemua pesakit kini adalah stabil, ” katanya, dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Norhizan berkata, PKD Kota Setar masih menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada terdapat kemungkinan kaitan wabak antara deretan kedai berdekatan City Plaza, Alor Setar dengan kluster Chikungunya di Simpang Kuala.

“Aktiviti kawalan vektor dijalankan di kedua-dua lokaliti tersebut. Bermula pada Ahad hingga Selasa lalu, 453 premis diperiksa di sekitar City Plaza dan menemui 26 bekas dengan pembiakan positif,” katanya.

Menurutnya, susulan penemuan itu, sejumlah 15 kompaun dikeluarkan bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai RM7,500 kepada pemilik premis yang membiak aedes.

“Aktiviti kawalan vektor juga dijalankan di lokaliti baru dengan 24 premis diperiksa, dan berjaya mengesan enam bekas dengan pembiakan positif. Daripada jumlah itu, empat kompaun dikeluarkan bawah APSPP 1975 dengan nilai RM2,000,” katanya.

Dr Norhizan berkata, aktiviti itu akan diteruskan dengan semburan kabus sekitar 200 meter dari kawasan terlibat.

“Tindakan pencegahan dan kawalan lain turut dilakukan, antaranya, pengesanan kes secara aktif (ACD) sekitar kawasan terlibat, promosi kesihatan kepada penduduk setempat, melakukan pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Menurutnya, hospital dan klinik swasta turut diminta melaporkan kes-kes yang mempunyai gejala Chikungunya kepada Pejabat Kesihatan Daerah.

“Aktiviti kawalan vektor, pemantauan kes dan siasatan lanjut akan terus dijalankan oleh PKD Kota Setar,” katanya.

Dr Norhizan turut menasihati orang ramai agar membersihkan persekitaran serta memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu, selain menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik dalam bekas takungan air kekal.

“Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama penduduk sekitar lokaliti dinasihatkan mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berdekatan. Mereka juga dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi berhubung kejadian ini,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia