Fahami penyakit berkaitan saraf

A
A
A

SOALAN 1

DOKTOR, saya memperoleh pendapatan melalui tempahan menjahit baju. Disebabkan menjahit tanpa henti dari pagi sampai ke malam, saya diserang sakit yang amat sangat pada bahagian kaki.

Pada mulanya, saya hanya menyapu minyak panas untuk melegakan kesakitan. Namun, tiada perubahan dan lebih malang lagi, kesakitan menyerang bahagian lutut dan pangkal paha pula. Sehubungan itu, saya ingin bertanya apakah sebab kesakitan itu dan bagaimana untuk mengubatinya?

AMBIL vitamin untuk memulihkan tisu otot.
AMBIL vitamin untuk memulihkan tisu otot.

-TUKANG JAHIT, ROSNITA RAZALI, 39, RAUB, PAHANG.

JAWAPAN:

MENJAWAB soalan berkenaan, ingin saya terangkan bahawa ada beberapa kemungkinan punca kesakitan. Pertama, ia boleh dikaitkan kaki 'bekerja' dalam tempoh terlalu lama dan kerap.

Oleh yang demikian, ia boleh mempengaruhi bahagian kaki menjadi sakit. Antara bahagian terlibat ialah pada otot, tendon, plantar fascia, saraf, sendi dan tulang kaki.

Artikel Berkaitan:

Tendon merupakan tisu kuat yang menghubungkan hujung otot dengan tulang. Plantar fascia pula merujuk lapisan tisu tebal pada tapak kaki yang bertindak sebagai penyerap hentakan.

Berdasarkan kes puan itu, pergerakan kaki yang terlalu kuat, berulang atau lama boleh mencederakan mana-mana struktur kaki yang dinyatakan.

Justeru, saya tidak dapat menentukan punca sebenar penyakit puan kerana ia perlu melalui pemeriksaan fizikal.

Elak berat badan berlebihan

Namun, pada umumnya, penyakit itu boleh diatasi dengan mengelakkan aktiviti yang menjadi punca sakit. Antaranya dengan merehatkan kaki. Ia juga boleh dirawat dengan ubat-ubatan.

Untuk langkah pencegahan, saya nasihatkan puan untuk tidak menggunakan kaki terlalu lama pada tempoh waktu tertentu.

Puan juga digalakkan untuk mengamalkan senaman kaki yang menguatkan otot-otot kaki untuk mengatasi sakit pada otot, sendi dan plantar fascia. Lebih baik, kawal berat badan, jangan berlebihan.

Diingatkan, pengambilan vitamin bukan rawatan khusus untuk masalah itu. Namun, ada beberapa jenis vitamin yang berperanan untuk pemulihan tisu otot, saraf dan tendon seperti vitamin B, C, D dan E.

Dari segi pemakanan pula, tiada pemakanan khusus yang perlu dielakkan sekiranya tidak berpunca daripada penyakit-penyakit lain.

Sekiranya sakit puan masih berlanjutan dan semakin teruk, saya nasihatkan agar segera berjumpa dengan doktor.

Doktor akan bertanya puan beberapa soalan yang dapat membezakan antara sakit yang berpunca daripada bahagian-bahagian kaki yang berbeza.

Bahagian yang sakit dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan fizikal.

SOALAN 2

Kerengsaan saraf berbeza dengan penyakit strok

DOKTOR, pada bahagian kiri muka, saya merasakan seperti berlaku 'gerakan-gerakan' saraf. Ia kerap terjadi pada bawah mata hingga ke bahagian mulut.

'Gerakan' itu sebenarnya bukanlah kerap berlaku. Namun, apabila saya berada dalam keadaan tertekan atau sibuk bekerja, pergerakan saraf itu sangat ketara. Barangkali ia merupakan tanda strok? Bantu saya untuk mendapatkan pencerahan.

- PESAKIT BUNTU, RAMONA ISHAK, 38, CHERAS, KUALA LUMPUR.

JAWAPAN:

TERIMA kasih puan di atas pertanyaan itu. Umumnya gejala itu disebabkan oleh kerengsaan (iritasi) pada saraf muka yang mengawal pergerakan atau penguncupan otot-otot muka.

Antara punca kerengsaan saraf ialah disebabkan kedudukan pembuluh darah yang rapat dengan saraf muka atau ketumbuhan yang menghimpit saraf muka.

Maka, saraf muka menghantar isyarat-isyarat yang menyebabkan penguncupan otot muka di luar kawalan.

Selain itu, ia juga berpunca daripada kerengsaan saraf yang mungkin disebabkan oleh kecederaan pada saraf muka ekoran kesan sampingan ubat atau lain-lain penyakit saraf.

Penyakit itu juga boleh terjadi tanpa apa-apa sebab. Puan usah risau kerana ia berbeza dengan penyakit strok.

Masalah itu boleh cuba diatasi dengan mengurangkan punca-punca kerengsaan saraf seperti mengatasi tekanan, keletihan dan dapatkan tidur yang mencukupi.

Puan juga harus mengelak minum minuman beralkohol, kurangkan minuman berkafein seperti kopi dan teh. Cukupkan juga pengambilan kalsium dan magnesium.

Sumber kalsium dan magnesium di dalam pemakanan ialah seperti sayuran berwarna hijau gelap, kekacang seperti badam, biji labu, avokado dan ikan.

Sekiranya masalah puan masih berpanjangan atau menjadi lebih teruk, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan dan rawatan yang lebih terperinci.

Profil

DR Julie.
DR Julie.

Dr Julie Mohamed merupakan pakar perubatan keluarga. Beliau mempunyai pengalaman klinikal selama 25 tahun dan sedang berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang perubatan keluarga di International Medical School, Management and Science University, kampus induk Shah Alam sejak tahun 2011.