Bawang merah penawar banyak penyakit

A
A
A

BAWANG merah atau nama saintifiknya allium cepa L merupakan sejenis tumbuhan yang termasuk dalam kumpulan Liliaceae yang tumbuh di Eropah, Asia, Amerika Utara dan Afrika.

Mengikut sejarah lampau, bawang merah dikatakan telah digunakan oleh manusia sejak 3,200 sebelum Masihi lagi. Penduduk Mesir kuno dipercayai antara bangsa terawal yang dikenal pasti menggunakan sayuran itu.

BANYAK khasiat bawang dari segi kesihatan.
BANYAK khasiat bawang dari segi kesihatan.

Bawang merah pernah disebut dalam al-Quran melalui surah al-Baqarah, ayat 61 yang menyatakan bahan makanan itu telah digunakan oleh kaum Bani Israel sekitar 1,500 sebelum Masihi sebagai salah satu makanan utama mereka.

Secara umumnya, terdapat dua jenis bawang merah iaitu yang berwarna merah atau ungu. Ia mempunyai rasa yang lembut dan manis.

Sementara yang berwarna kuning atau putih, lebih sesuai digunakan dalam masakan yang akan menjadikan sajian lebih beraroma dan lazat.

Namun, perlu diingat, untuk mendapatkan khasiat bawang merah, ia harus dimakan mentah. Ini kerana jika ia sudah dimasak, sebatian kimia bawang merah sudah berubah.

Kepada Sihat:Aktif, Pensyarah Kanan, Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia, Dr Mohammad Amir Wan Harun berkongsi satu penyelidikan tentang bawang merah.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, bawang itu telah digunakan secara meluas dan dikenal pasti menjadi penawar mengubati pelbagai penyakit. Antaranya ialah:

1. Mengurangkan risiko kardiovaskular

Para pengamal tradisional percaya bawang merah dianggap sebagai tonik untuk organ dalaman.

Kepercayaan itu berasaskan satu kajian yang menunjukkan kandungan sebatian organosulfur dalam bawang merah merupakan agen antiplatelet.

Antiplatelet merupakan satu keadaan yang mana berlakunya pembekuan darah apabila berlaku kecederaan. Dengan mengambil bawang merah, ia dikatakan dapat merencatkan agrigasi platelet seterusnya mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

2. Agen antipembentukan lemak

Ekstrak minyak bawang merah boleh memecahkan lemak yang terhasil daripada peningkatan serum kolesterol. Ini kerana minyak bawang merah mengandungi sebatian organosulfur iaitu alil propil disulfida yang bertindak sebagai agen antipembentukan lemak dalam badan.

3. Menurunkan tahap kandungan gula

Kandungan kuersetin iaitu sejenis fitokimia yang terdapat pada zat kulit bawang merah dapat menurunkan kadar hiperglisemia iaitu kandungan gula dalam darah menjadi tinggi selepas makan. Pengguna boleh mendapatkan khasiat itu dengan hanya makan bawang merah begitu sahaja dan menganggapnya sebagai ulam.

4. Mengatasi masalah kemurungan

Selain itu, kulit bawang merah mengandungi sebatian kuersetin. Kandungan tersebut boleh bertindak sebagai agen antitekanan atau anti kemurungan bagi pesakit.

Amalkan pengambilan bawang merah bagi mereka yang mencari ubat alami untuk mengatasi masalah kemurungan.

5. Agen antiasma atau antilelah

Sebatian sulfur thiosulfinates yang terdapat di dalam bawang merah mampu meredakan penyakit asma. Ini kerana sulfur thiosulfinates mampu menjadi agen untuk mengurangkan semput yang dialami oleh pesakit.

ANEKDOT

Khasiat bawang merah

Dalam bidang kosmetik:

- Ekstrak air bawang merah dapat menghapuskan masalah kutu dan rambut gugur. Caranya sapu air bawang merah yang dicampur dengan minyak zaitun pada rambut atau kulit kepala, biarkan semalaman dan lihat hasilnya.

- Antipenuaan. Bawang yang mengandungi vitamin A, C dan E berupaya melawan kerosakan disebabkan sinaran UV dan pembentukan radikal bebas.

- Kandungan sumber kuersetin iaitu satu antioksida yang boleh mengekalkan keanjalan kulit.

- Vitamin dan sulfur yang ada pada bawang merah boleh melindungi tangan dan kulit daripada berkedut. Caranya dengan menyapu kulit bawang merah pada bahagian kulit bagi meningkatkan kadar peredaran darah.

- Bawang merah boleh melegakan kesan gigitan dan sengatan serangga. Caranya ambil beberapa hirisan bawang dan letak di atas tempat gigitan.

Khasiat lain:

- Merawat mata sentiasa berair.

- Meneutralkan racun.

- Masalah dalam telinga berair dan berdengung.

- Menghilangkan loya dan mengelak daripada muntah.

- Merawat buasir.

- Melancarkan haid.

- Meningkatkan selera makan.

- Merawat kusta.

- Melancarkan pembuangan air kencing.

- Membantu sistem penghadaman.

- Mencegah kanser.

- Membaiki sel dan tisu badan.

- Meningkatkan daya ingatan dan menguatkan sistem saraf.

Profil

DR Mohamad Amir
DR Mohamad Amir

Dr Mohammad Amir Wan Harun merupakan Pensyarah Kanan, Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia. Beliau turut menghasilkan kajian yang berkaitan Fiqh Pemakanan dan Perubatan.