Perlawanan amal bantu bekas pemain bola sepak NS

Mohd Nor Azam
Mohd Nor Azam
A
A
A

KUALA PILAH - Kelab Bola Sepak TMS Old Boys Kuala Pilah bakal menganjurkan Perlawanan Amal Bola Sepak Veteran yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini di Rhinos Arena, Rahang Square, Seremban.

Presidennya, Mohd Nor Azam Abdullah berkata, tujuan utama diadakan perlawanan ini ialah untuk memungut sumbangan dan disampaikan kepada bekas pemain Negeri Sembilan, Zapril Hashim, 61.

"Beliau merupakan bekas pemain yang pernah menyarung jersi Negeri Sembilan sekitar hujung 1970-an dan 1980-an sebelum berhijrah ke pasukan Selangor.

"Perlawanan ini menyaksikan pemain veteran bermain sambil menghulurkan sumbangan ikhlas mereka bagi meringankan penderitaan Zapril yang dikhabarkan baru dua minggu menjalani pembedahan kecil di tiga jari kakinya akibat penyakit kencing manis.

"Atas dasar keprihatinan, kami terpanggil dan berbesar hati untuk menganjurkan perlawanan amal ini yang mendapat kerjasama dan pengiktirafan dari Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS)," katanya.

Mohd Nor Azam berkata, bayaran RM5 untuk tiket perlawanan dikenakan kepada penonton sementara kanak- kanak di bawah usia 12 tahun dan wanita dikecualikan.

"Antara pemain veteran yang telah mengesahkan kehadiran ialah Zainuddin Husin, Isa Abas, Mohd Noor Yaacob, Mutalib Adam, Ruslan Yaajob, Hamdan Wahab dan Kuay Swee Hua," katanya.

Artikel Berkaitan: