LRA Labohan Dagang Fasa 1 siap

Amirudin (kanan) menunjukkan LRA Labohan Dagang Fasa 1 yang boleh menampung keperluan bekalan air khususnya untuk penduduk Kuala Langat.
Amirudin (kanan) menunjukkan LRA Labohan Dagang Fasa 1 yang boleh menampung keperluan bekalan air khususnya untuk penduduk Kuala Langat.
A
A
A

KUALA LANGAT - Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang Fasa 1 yang dibangunkan dengan kos pembangunan serta tanah bernilai RM587 juta kini siap sepenuhnya untuk memulakan operasi secara rasmi hari ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, LRA dengan kapasiti air terawat sebanyak 200 juta liter (JLH) itu dimulakan pembinaannya pada Julai 2017 di atas tanah seluas 26 hektar dan menggunakan konsep pembangunan air di hiliran untuk dijadikan sumber air.

Beliau berkata, dengan siapnya LRA Labohan Dagang (Fasa 1) itu, daerah Kuala Langat khususnya kini akan mendapat bekalan air sendiri.

Menurutnya, sebelum ini, Kuala Langat merupakan kawasan di hujung sistem bekalan air dan tidak ada satu loji khusus untuk menampung permintaan air di daerah tersebut.

"Daerah Kuala Langat termasuk kawasan Klang merupakan kawasan terakhir dalam sistem agihan air dari Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 dan 3.

"Apabila berlaku gangguan bekalan air, kawasan Kuala Langat merupakan kawasan yang terakhir akan pulih. Tapi kini masalah itu dapat diatasi dengan adanya LRA Labohan Dagang Fasa 1 ini dan bekalan air daripada Sungai Selangor Fasa 1 dan 3 boleh ditumpukan kepada kawasan Lembah Klang," katanya," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan LRA Labohan Dagang di sini semalam.

Amirudin berkata, LRA itu juga secara berfasa akan mengambilalih bekalan air dari LRA Semenyih ke kawasan Beranang, sebahagian kawasan Hulu Langat dan pembangunan baharu di sepanjang Lebuh Raya Lekas.

"Saya lega loji ini siap dengan sempurna walaupun pada awalnya mendapat kecaman pelbagai pihak kerana projek ini dianggap satu pembaziran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Amirudin memberitahu LRA Labohan Dagang itu dibangunkan dengan rekabentuk dan dilengkapi komponen-komponen serta peralatan berteknologi tinggi dan dioperasikan sepenuhnya secara automatik bagi menyalurkan bekalan air terawat ke Wilayah Kuala Langat yang selama ini menerima bekalan melalui LRA Semenyih, LRA Labu dan LRA Sungai Selangor.

Beliau berkata, loji terbabit turut mempunyai empat unit pam yang berfungsi mengepam dan menyalurkan air terawat ke kolam imbangan dan seterusnya ke sistem agihan.

Katanya, turut dibina sebuah tangki menara dengan kapasiti 2.3 JLH bagi kegunaan dalaman bangunan kimia, surau, kuarters kakitangan, bangunan pentadbiran, bangunan stor & bengkel, bangunan Telekom, sub stesen elektrik dan pondok pengawal termasuk pembinaan kolam imbangan Bukit Jugra.