Sara lapan anak walaupun sakit

Rohayati menerima kunjungan KKCK dan Pertubuhan Prihatin Tanah Merah.
Rohayati menerima kunjungan KKCK dan Pertubuhan Prihatin Tanah Merah.
A
A
A

TANAH MERAH - Kehidupan seorang ibu tunggal bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila dia mempunyai penyakit kronik terpaksa menyara tujuh anak dan seorang anak angkat selepas berpisah dengan suami.

Lebih memilukan, apabila Rohayati Roni, 34, yang menghidap sakit buah pinggang dan kurang garam dalam badan juga perlu menyara anak sulung mengalami masalah injap jantung bocor dan anak bongsu mempunyai penyakit lelah.

Rohayati berkata, sebelum ini dia pernah menyewa di luar kerana kediaman milik arwah ayahnya di Kampung Manal 3 semakin uzur dan tidak mampu dibaiki.

"Namun saya terpaksa berpindah semula ke rumah ini selepas kediaman yang disewa perlu dibaiki dan dia saya tidak mampu menyewa lagi kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Rumah yang kami diami ini uzur dan sudah berusia lebih 30 tahun. Kami tak mampu tinggal menyewa dan hanya inilah tempat tinggal kami lapan beranak berteduh dari panas dan hujan," katanya.

Menurutnya, rumah peninggalan arwah ayahnya itu dibina atas rizab sungai dan bukan tanah milik keluarga.

"Harapan kami lapan beranak hanyalah dapat tinggal dalam rumah lebih selesa dan anak-anak juga dapat teruskan persekolahan kerana saya tak mampu sediakan duit belanja," katanya.

Rohayati berkata, dia tidak mampu bekerja dan hanya mengharapkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta belanja tambahan dari anak angkatnya, Muhammad Aiman Fazren,14, yang rela bekerja demi membantu keluarga mereka.

Artikel Berkaitan:

"Saya sedih mengenangkan nasib selepas anak sulung, Roselina Abdullah berusia 16 tahun dan anak bongsu Rosarisa Yusoff berumur 4 tahun juga mengalami masalah kesihatan. Setiap tiga minggu sekali saya akan ke hospital jalani rawatan begitu juga Roselina.

"Atas faktor kesihatan di samping tak cukup wang belanja, Roselina dan salah seorang dari anak kembar saya Muhammad Yahya Yusoff tidak dapat teruskan persekolahan kerana dia tidak mampu membeli kelengkapan sekolah," katanya.

Menurutnya, mereka terpaksa ikat perut atau hanya makan nasi berlaukkan budu dan kadangkala telur goreng bagi mengelakkan kelaparan.

Terdahulu, Rohayati ditemui dalam kunjungan Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) dan Pertubuhan Prihatin Tanah Merah yang turut menyampaikan sumbangan keperluan dapur.

Pengerusi KKCK, Pui Tiong Lam, berkata pihaknya akan terus menyalurkan bantuan makanan setiap bulan.

"Kita bersama, Pertubuhan Prihatin Tanah Merah yang turut disertai Pengerusi, Syed Hassan Syed Mamat amat terkesan dengan kisah menyayat hati yang terpaksa ditanggung Rohayati sendirian.

"Dia juga tidak mampu bayar bil untuk pemasangan air paip bagi bekalan air bersih dan kami sepakat selesaikan hutang tertunggak keluarga itu demi kelangsungan hidup mereka.

Menurutnya, pihak berwajib diharap dapat campur tangan dalam isu ini supaya keluarga itu dapat meneruskan kehidupan dan mendapatkan bekalan air bersih memandangkan mereka terpaksa menggunakan sumber air sungai untuk mandi, memasak dan pelbagai urusan harian lain.