Kakitangan DBKL cedera digigit anjing

Anjing tersebut ditangkap selepas menyerang orang awam dan dipelihara tanpa lesen.
Anjing tersebut ditangkap selepas menyerang orang awam dan dipelihara tanpa lesen.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang Penolong Pegawai Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima lapan jahitan pada kaki kanan selepas diserang seekor anjing milik seorang warga emas.

M Vishalani Nair, 31, berdepan detik cemas itu semalam sewaktu ke rumah lelaki berusia 60-an di Taman Maluri bagi menyelesaikan aduan kacau ganggu dan halangan.

Rumah teres diduduki lelaki itu secara berseorang dalam tidak terurus sehingga menimbulkan rasa tidak senang penduduk apabila terdapat beberapa barangan terpakai termasuk pasu diletakkan di luar pagar rumah.

Vishalani berkata, semalam adalah kali kedua dia bersama dua rakan setugas ke rumah itu selepas tempoh dua minggu notis pembersihan dikeluarkan ke atas lelaki itu.

"Kebetulan lelaki itu berada di luar rumah dan saya melihat rumah itu masih seperti biasa. Lelaki berkenaan tidak memberikan sebarang maklum balas sebaik saya memperkenalkan diri sebagai anggota dari DBKL.

"Saya hanya berdiri di luar pagar pintu pagarnya terbuka. Sebaik menyedari terdapat anjing tidak berantai menghampiri, saya cuba berundur naik ke van namun sedar-sedar kaki saya sudah digigit," katanya.

Akuinya, dia sedikit trauma dengan insiden itu dan rakan setugasnya telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Mulanya saya tak sedar kaki saya digigit sehinggalah saya kesan ada darah sewaktu berada dalam van. Warga emas itu masih diam dan berlalu masuk rumah selepas insiden itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya kemudian menerima rawatan di klinik DBKL dan diberikan cuti sakit selama dua hari," katanya yang kurang setahun berkhidmat dengan DBKL.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Datin Dr Noor Akma Shabuddin berkata, anjing tersebut ditangkap kerana menyerang orang awam dan dipelihara tanpa lesen.

"Anjing ini dikurung terlebih dahulu di pusat kurungan untuk monitor sekiranya terdapat simptom berkaitan Rabies dan mungkin akan dipertimbangkan untuk pelupusan bagi tujuan kajian pengesahan penyakit Rabies.

"Sepatutnya kompaun juga dikeluarkan ke atas lelaki itu atas kesalahan disebutkan namu dilepaskan atas faktor merupakan warga emas," katanya.

Difahamkan, anjing berkenaan turut pernah menyerang pekerja Alam Flora yang melakukan kerja pembersihan di kawasan itu.