Biar undang-undang hukum pelaku: Wan Azizah

image
image
A
A
A

ALOR SETAR - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia supaya bersabar dan membiarkan proses undang-undang menentukan hukuman sewajarnya kepada pelaku yang menyebabkan kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Isnin lalu.

Peringatan itu disampaikan menerusi Pegawai Khas (Ekonomi) kepada Timbalan Perdana Menteri, Ameer Ali Vali Mohamed yang hari ini menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham bagi pihak Dr Wan Azizah di kediaman keluarga itu di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham, Ameer Ali berkata, Timbalan Perdana Menteri juga menggesa rakyat Malaysia agar bersatu hati dan tidak terpengaruh dengan tindakan sesetengah pihak yang menjadi 'batu api' dalam kes tersebut sehingga menganggu emosi semua pihak.

"Timbalan Perdana Menteri mengingatkan mereka yang salah biarlah dihukum mengikut undang-undang sedia ada. Apa yang jadi ini bukan isu agama atau perkauman tetapi merupakan perbuatan jenayah dan orang yang lakukan jenayah ini akan dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Ameer Ali berkata, Dr Wan Azizah juga berharap agar keluarga Allahyarham Muhammad Adib terus tabah menghadapi ujian besar dari ALLAH.

Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.14 malam selepas dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November lepas.

Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini kira-kira 1.45 tengah hari, Selasa lalu.- Bernama

Artikel Berkaitan: