Maut kepala tersepit excavator

Gambar kecil: Mohamad Zainal
Gambar kecil: Mohamad Zainal
A
A
A

KAMPUNG GAJAH - Seorang lelaki maut dengan kesan kecederaan parah di kepala selepas tersepit pada jentera pengorek (excavator) yang dikendalikan di kawasan bendang Kampung Bukit Chawi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Mohamad Redzuan Abdullah, 26, dari Felcra Changkat Lada di sini maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, Balai Polis Jejawi (Kota Setia) menerima panggilan daripada ketua kampung yang memaklumkan kejadian itu.

"Setibanya di lokasi, terdapat seorang lelaki di kabin bahagian pemandu dalam keadaan bahagian kepalanya terkeluar dan tersepit antara tingkap dan lengan excavator.

"Keadaan itu menyebabkan bahagian kanan kepala lelaki itu pecah dan mangsa disahkan maut di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikaitkan dalam kejadian itu.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan parah di kepala dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan: