Lelaki Bangladesh dalang palsu pasport diberkas

Pegawai Imigresen Kuala Lumpur menunjukkan antara dokumen dan barang yang dirampas dalam operasi itu di sebuah kondominium di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, semalam.
Pegawai Imigresen Kuala Lumpur menunjukkan antara dokumen dan barang yang dirampas dalam operasi itu di sebuah kondominium di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peranan seorang lelaki warga Bangladesh sebagai dalang sindiket pemalsuan pasport dan permit kerja warga asing dibongkar dalam Ops Serkap di sebuah kondominium di Jalan Chow Kit, di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, bertindak atas maklumat dan risikan sejak sebulan lalu mendapati lokasi kediaman tersebut dijadikan sebagai markas memproses dan memalsukan pasport, permit kerja serta i-kad.

Menurutnya, operasi kira-kira jam 10 malam itu mendapati sindiket yang didalangi suspek berusia lingkungan 30-an itu aktif melakukan kegiatan berkenaan di sekitar Lembah Klang terutama kawasan Bukit Bintang sejak dua tahun lalu.

"Sasaran utama sindiket ini adalah warga asing yang majoriti terdiri daripada individu warga Bangladesh yang mempunyai masalah permohonan atau lanjutan permit kerja terutama dari sektor pembinaan, perkhidmatan serta perkilangan.

"Siasatan juga mendapati sindiket terbabit dipercayai menawarkan perkhidmatan mengeluarkan pasport antarabangsa, pas atau permit Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), i-kad dan kad hijau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) palsu dengan kadar bayaran antara RM110 hingga RM800 bagi setiap dokumen," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Antara dokumen dan barang yang dirampas dalam serbuan Ops Serkap di sebuah kondominium di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, semalam.
Antara dokumen dan barang yang dirampas dalam serbuan Ops Serkap di sebuah kondominium di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, pihaknya percaya dengan tertangkapnya suspek ini, masih terdapat dua lagi warga Bangladesh yang dipercayai terbabit dengan kegiatan sindiket berkenaan dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.

Tambahnya, dalam operasi ini, pelbagai barang dirampas antaranya dua buah komputer mengandungi maklumat dokumen dan pelekat keselamatan imigresen, tiga mesin pencetak, 40 cetakan muka surat pasport negara Bangladesh dan empat cetakan PLKS.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya sindiket ini mampu mengaut keuntungan berjumlah RM15,000 sebulan dengan purata tempahan ditawarkan secara pakej," katanya.

Tegas Hamidi, mana-mana warga asing tidak akan terlepas sekiranya mereka dikesan memiliki pas atau permit PLKS palsu ini.

"Suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002), Seksyen 56(1A)(c) akta yang sama, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 12(1)(a) akta yang sama," katanya.

Jelasnya, pihaknya akan sentiasa prihatin dengan aduan dan maklumat diberikan orang awam dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang tinggal secara haram, menyalahgunakan pas dan melakukan aktiviti tidak bermoral di negara ini.