Peniaga Pasar Payang mula berpindah 1 Julai

Gambar kecil: Alias
Gambar kecil: Alias
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Peniaga Pasar Besar Kedai Payang dijangka akan mula berpindah dan memulakan operasi perniagaan di lokasi sementara (Pasar Payang 2) bermula 1 Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, bangunan sementara yang akan menempatkan seramai 762 lot perniagaan itu kini telah hampir siap sepenuhnya dan bersedia untuk diduduki.

“Kesemua fasiliti yang ada di bangunan baharu telah siap dan para peniaga juga ada yang dah dapat kunci untuk lot-lot niaga mereka.

“Ada antaranya (peniaga) telah mula membuat pengubahsuaian bagi tapak niaga baharu mereka yang akan digunakan dijangka dalam tempoh dua tahun setengah sementara menunggu pembinaan bangunan di tapak asal Pasar Payang disiapkan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengulas lanjut, katanya, kerja-kerja pembinaan Pasar Payang di tapak asal akan dimulakan sebaik semua peniaga di situ siap berpindah ke lokasi sementara.

“Kita beri tempoh selama sebulan untuk peniaga berpindah dan setiap peniaga ini tak sama, ada yang perlu buat ubahsuai lot niaga dan ia akan memakan masa.

“Bagaimanapun, pada 1 Julai nanti kita ramal kebanyakan peniaga telah mula berpindah dan boleh memulakan operasi perniagaan di lokasi sementara di Pasar Payang 2,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, gambar tular yang mendakwa air telah memenuhi ruang pasar yang ditularkan kelmarin sebenarnya berlaku di luar kawasan Pasar Payang 2.

Artikel Berkaitan:

“Saya dah buat tinjauan di mana struktur longkang serta aliran air di dalam pasar itu berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang masalah.

“Sebenarnya ada berlaku ribut menyebabkan air luar ditolak masuk menyebabkan lantai basah sedikit, air hujan masuk melalui atap yang masih belum siap dipasang. Jadi, ada kebocoran sedikit.

“Bukan banjir, atap yang bocor itu juga telah dipasang sepenuhnya. Tak ada masalah lagi,” katanya.