Sabah diisytihar bebas wabak selesema burung

Selesema burung
Selesema burung
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah hari ini mengisytiharkan Sabah, khususnya Tuaran bukan lagi kawasan wabak penyakit selesema burung, selepas wabak yang dikesan pada Ogos lepas dapat diatasi sepenuhnya sejak 1 September lepas.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong berkata selepas mengesan wabak berkenaan di sebuah ladang di daerah Tuaran pada 3 Ogos lepas, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah (DVS) telah diberi mandat selaras Seksyen 45(2) Enakmen Haiwan 2015 untuk mengurus wabak tersebut.

“Antara perkara yang dilakukan adalah Pemusnahan unggas dan disinfeksi premis dalam jarak 1 kilometer radius dari lokasi jangkitan berkenaan, kempen kesedaran secara konsisten, kawalan pergerakan unggas serta hasil unggas dari kawasan wabak, dan pemantauan aktif (persampelan) unggas dalam jarak 5 kilometer radius dari lokasi jangkitan.

“Pengurusan wabak berkenaan telah selesai pada 1 September 2018 dan sehingga hari ini tiada lagi kes baharu dikesan melalui survelan klinikal, serologi, dan virologi. Ini menunjukan bahawa lebih 90 hari atau 4 kali tempoh inkubasi telah berlalu tanpa sebarang jangkitan wabak berkenaan dikesan. Maka dengan itu kerajaan mengumumkan bahawa Sabah adalah bebas daripada wabak penyakit selesema burung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Pengisytiharan kendiri mengenai bebas wabak ini juga telah dilakukan pada 17 Dis 2018 melalui Delegasi Rasmi Malaysia ke Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia supaya memastikan sekatan perdagangan unggas dan hasilan unggas yang dikenakan kepada negara Malaysia serta negeri Sabah khasnya boleh ditarik balik.

Junz berkata bagaimanapun, kerajaan Sabah melalui DVS akan terus menjalankan pemantauan secara tetap dan berkala untuk memastikan bahawa tiada jangkitan baharu berlaku di seluruh Sabah.- Bernama

Artikel Berkaitan: