Penguatkuasaan lemah didakwa punca pencemaran udara

Hassan Karim
Hassan Karim
A
A
A

PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim kecewa dengan kegagalan kerajaan negeri mengambil iktibar daripada insiden Sungai Kim-Kim hingga berlaku gelombang kedua pencemaran udara di daerah ini.

Menurutnya, penguatkuasaan yang lemah selain tiada pelan tindakan kukuh menyebabkan pencemaran udara berlaku di situ meskipun penduduk baru sahaja lega dengan bencana sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim Mac lalu.

"Saya sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan negeri. Bahkan kini, rakyat turut mula hilang keupayaan terhadap kerajaan negeri menangani isu tersebut.

"Saya sendiri sudah berulang kali bercerita isu ini dalam sidang parlimen. Saya khuatir jika esok atau lusa sudah pulih isu ini, nanti berulang kembali pula," katanya.

Hassan yang Pengerusi PKR negeri berkata, beliau sendiri tidak dapat mempertahankan kerajaan negeri apabila rakyat kini menyuarakan ketidakpuasan hati mengenai cara pencemaran udara ditangani.

"Bagi saya kerajaan negeri cuai dalam memastikan pencemaran udara tidak terus berlaku di Pasir Gudang selepas hanya tiga bulan dilanda bencana sisa kimia berbahaya itu.

"Apa sebenarnya pelan tindakan kerajaan negeri selepas bencana Sungai Kim Kim sehingga rakyat sehingga kini tertanya-tanya apa yang sudah dilakukan bagi memastikan mereka selamat tinggal di Pasir Gudang," katanya.

Menurutnya, ketika insiden Sungai Kim-Kim sebelum ini, beliau pernah mencadangkan supaya diisytiharkan darurat di Pasir Gudang namun kerajaan tidak bersetuju.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan tidak setuju semasa saya beri cadangan untuk isytihar darurat dan memberitahu ia dapat ditangani namun lihatlah sekarang apa yang berlaku.

"Penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lemah di samping kegagalan kerajaan mengawal kilang-kilang di Pasir Gudang kini menjadi ancaman keselamatan besar kepada warga Pasir Gudang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan bahawa pencemaran udara di Pasir Gudang tidak sepatutnya berulang.

Dalam pada itu, Hassan menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri mengenai pencemaran udara di Pasir Gudang.

"Saya berharap Perdana Menteri ambil langkah tegas dan mengarahkan pengendalian pencemaran udara di sini dapat dikendalikan sepenuhnya Kerajaan Persekutuan kerana rakyat semakin bimbang dengan keselamatan pada masa akan datang," katanya.