Wujud semula penerbangan terus KL-Rom

Duta Besar Itali ke Malaysia Cristiano Maggipinto - Foto BERNAMA
Duta Besar Itali ke Malaysia Cristiano Maggipinto - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Duta Itali ke Malaysia, Cristiano Maggipinto, telah menyarankan agar syarikat penerbangan Malaysia menimbang untuk mewujudkan penerbangan terus bagi destinasi Rom-Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada strateginya untuk merangsang sektor pelancongan antara Itali dan Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai potensi dan sesuai sebagai destinasi percutian untuk pelancong Itali.

Bagi memperlihat kesungguhannya, Maggipinto berkata, beliau turut bertemu syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, Air Asia, pada April bagi membincangkan cadangan itu.

“Antara halangan yang kami nampak ialah tiada penerbangan langsung antara Malaysia dan Itali. Jadi kami meminta Air Asia untuk menimbang kemungkinan ini untuk melancarkan penerbangan terus kerana mereka turut terbang ke destinasi antara benua yang lain.

“Maklum balas daripada syarikat penerbangan amat menggalakkan namun sudah tentu terdapat banyak keputusan dari segi ekonomi yang perlu mereka pertimbang,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Ketika ini, tiada penerbangan terus antara Malaysia dan Itali selepas Malaysia Airlines menghentikan perkhidmatannya bagi sektor itu pada 2012 manakala tiada syarikat penerbangan Itali yang memberikan perkhidmatan di laluan ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Maggipinto turut menggesa Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan meningkatkan kempen promosinya di Itali bagi menarik ketibaan lebih ramai pelancong dari negara itu ke Malaysia.

“Pelancongan Malaysia mempunyai banyak potensi. Namun ia tidak begitu terkenal di Itali. Malaysia adalah sebuah negara eksotif namun moden, kaya dengan sejarah, alam semula jadi dan budaya.

Artikel Berkaitan:

“Ia memiliki semua ciri yang diperlukan untuk menarik lebih ramai pelancong Itali,” katanya.

Beliau berkata, meskipun terdapat peningkatan dalam jumlah ketibaan pelancong antara kedua-dua negara, ia masih rendah dengan trafik pelancong antara kedua-dua negara dianggarkan hanya 40,000 orang. - Bernama