DAP Perak sokong elaun Sasterawan Negara

Abdul Aziz
Abdul Aziz
A
A
A

IPOH - DAP Perak menyambut baik peruntukan elaun sara hidup sebanyak RM5000 setiap bulan yang diberikan kepada penerima Anugerah Sastera Negara.

Naib Pengerusinya, Abdul Aziz Bari berkata, peruntukan melalui Kementerian Pendidikan itu selari dengan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Tanpa menolak atau menghalang penguasaan bahasa lain seperti bahasa Cina dan Tamil, DAP sememangnya menghormati Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

"Kerana itu Sasterawan Negara dianggap penyumbang besar, peranan mereka sebagai institusi nasional yang penting dalam memupuk jati diri negara dan memperkasa pemikiran serta budaya kebangsaan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau yang juga Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar negeri berkata, peruntukan disediakan itu akan dapat meringankan beban dan kepayahan dilalui oleh Sasterawan Negara sebagaimana yang pernah dimanifestasikan oleh Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said melalui 'mogokseni' sewaktu pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

"Ini juga sebagai bukti jelas bahawa PH termasuk DAP bukanlah pengkhianat bahasa," katanya.

Semalam, kerajaan bersetuju memberi elaun penghargaan bulanan berjumlah RM5,000 kepada tujuh Sasterawan Negara bermula bulan ini.

Peruntukan tambahan itu diluluskan kepada Kementerian Pendidikan untuk pembiayaan elaun kepada semua Sasterawan Negara terbabit iaitu Datuk Seri Dr A Samad Said; Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh; Datuk Noordin Hassan; Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan; Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah; Datuk Dr Baharuddin Zainal dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Artikel Berkaitan: