Pesara guru rugi RM73,000 ditipu Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang wanita yang juga pesara guru dari Bedong, Sungai Petani kerugian sebanyak RM73,000 selepas ditipu sindiket penipuan melalui panggilan telefon (Macau Scam) Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah Superintendan Annuar Amri Abd Muluf berkata, wanita berkenaan pada awalnya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai polis dari Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya, lelaki berkenaan memaklumkan bahawa warga emas terbabit terlibat dalam suatu aktiviti pengubahan wang haram dan mengarahkan dia memindahkan wang dalam akaun simpanannya ke suatu akaun yang lain untuk mengelakkan wangnya disita.

"Akibat terkejut dan cemas, mangsa terus mengikut arahan menerusi panggilan telefon tersebut dan memasukkan dua kali wangnya di kaunter bank iaitu sebanyak RM63,000 bagi kemasukan kali pertama dan diikuti RM10,000 ke suatu akaun milik individu pada jam 3 petang, 16 Mei lalu," katanya ketika ditemui pemberita pada jamuan Aidilfitri JSJK di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Annuar Amri berkata mangsa mula menyedari dia ditipu pada keesokan harinya apabila gagal menghubungi semula pemanggil berkenaan.

"Wanita berkenaan kemudiannya membuat suatu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada 19 Jun lepas dan setakat ini pihak polis sedang mengesan suspek terlibat," katanya yang menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Annuar Amri berkata, pihaknya menasihati orang ramai agar jangan cemas sekiranya mendapat panggilan seperti itu dan menyemak terlebih dahulu dengan pihak polis sebelum mengambil apa-apa tindakan.

"Tambahan pula, pihak polis tidak mempunyai hak malah tiada peruntukan mana-mana undang-undang yang membenarkan polis mengarahkan orang awam memindahkan wang mereka ke dalam akuan lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata kira-kira 60 kes ‘macau scam’ yang melibatkan kerugian melebihi RM1.1 juta direkodkan di negeri ini setakat ini sejak Januari lalu dengan daerah Kota Setar mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 15 kes.