Wanita PKR Johor pertahan Zuraida

Ketua Wanita PKR Johor, Rahamizon Abdul Ghani
Ketua Wanita PKR Johor, Rahamizon Abdul Ghani
A
A
A

JOHOR BAHRU - Wanita PKR Johor menyelar kenyataan Naib Ketua Wanita PKR, Datin Faezah Ariffin yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepada Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Ketuanya, Rahamizon Abdul Ghani berkata, tindakan tersebut menampakkan tahap moral Faezah sendiri yang tidak berkesudahan masih menyimpan dendam kepada Zuraida.

"Sesiapa yang mengikuti kempen pemilihan parti tempoh hari masih tidak akan lupa video serangan ceramahnya yang menghentam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Bahkan sebagai salah seorang pemimpin wanita Pusat, beliau patut berlapang dada meraikan pandangan berbeza pimpinan kerana pertembungan idea akan mematangkan isu yang diperdebatkan bahkan dapat menambah nilai idea untuk menutup lompong kelemahan polisi sedia ada," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rahamizon berkata, walaupun akhirnya keputusan tidak akan berubah kerana keputusan dari Biro Politik PKR tetap kekal, pimpinan boleh menyatakan pendirian peribadi.

"Kerana masing-masing konsisten dengan pendekatan dan pemahaman yang berbeza tentang beberapa isu dalaman parti.

"Dalam konteks kita negara berdemokrasi, semua bebas untuk bersuara. Maka wajar kita boleh berbeza pendapat dan pandangan," katanya.

Beliau berkata, sebagai Naib Ketua Wanita PKR, Faezah sepatutnya lebih fokus untuk membantu sayap wanita diterajui ketuanya, Haniza Mohd Talha.

Artikel Berkaitan:

"Daripada memberi 'bola tanggung' kepada oposisi kerana kecelaruan dalaman parti ini yang berisiko menjejaskan kesepaduan sayap wanita PKR itu sendiri.

"Marilah kita sama-sama mencapai kesepakatan dan berganding bahu kerana banyak lagi agenda dan aspirasi rakyat yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan PH baik di peringkat negeri atau persekutuan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kenyataan Faezah yang mempersoalkan pendirian Zuraida berhubung isu video intim mengaitkan Menteri Kabinet dari parti mereka.