Peniaga pasar tani dibelasah kejam

Razmi
Razmi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga pasar tani dipukul tanpa belas kasihan oleh kenalan sendiri sehingga mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan mukanya, di tapak pasar tani, Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.20 petang berlaku ketika lelaki berusia 37 tahun sedang berjalan kaki untuk ke tempat kereta yang di parkir di tapak niaga pasar tani berhampiran Politeknik Kuala Berang, Hulu Terengganu itu.

Menurut sumber, semasa tiba di lokasi, mangsa dikejutkan dengan kehadiran kenalannya itu dalam keadaan mengamuk dan terus menyerangnya.

"Suspek bertindak mencekik leher dan memukul mangsa selain turut tergamak menghantukkan kepalanya ke tiang elektrik berhampiran sehingga jatuh tersungkur.

"Tanpa mengendahkan rayuan mangsa, suspek semakin agresif dengan memukul muka mangsa bertubi-tubi," katanya hari ini.

Sumber berkata, akibat perbuatan kejam suspek, mangsa mengalami kecederaan bengkak di kepala, pecah di muka dan tangannya terseliuh.

Jelas sumber, mangsa yang bimbang akan keselamatan dirinya dan ahli keluarga membuat laporan polis sejurus kejadian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian di Balai Polis Kuala Berang, Hulu Terengganu hari sama kejadian.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, suspek sudah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan ugutan.