X

Kindly register in order to view this article
!

Tindakan CTOS, sekat lesen menanti!

A
A

TAWAU - Majlis Perbandaran Tawau (MPT) akan melaksanakan penggunaan Data Systems Sdn Bhd (CTOS) serta i-Sekat terhadap pembayar cukai culas kepada pihak berkuasa tempatan, di sini.

Presidennya, Amrullah Kamal berkata, penggunaan dua kaedah itu akan dikuatkuasakan dalam tempoh terdekat bagi menangani masalah kutipan cukai di Tawau.

"Tawau ini banyak tunggakan cukai sehingga mencecah RM16 juta, selain bajet untuk tahun 2020 defisit RM8 juta, ini perkara yang tidak memberangsangkan ke arah kita mahu membangunkan Tawau sebagai Bandar Pintar dan Hijau.

"Sekarang pendekatan kita mahu guna i-Sekat dimana lesen tidak boleh diperbaharui, bayar dulu (cukai) baru kita (MPT) perbaharui (lesen) dan kedua CTOS, memungkinkan tidak boleh membuat pinjaman kewangan," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Amrullah berkata, pihaknya sudah membuat perjanjian bersama platform CTOS untuk melaksanakan tindakan itu.

Dalam pada itu, katanya sebelum ini langkah mengiklankan nama pembayar cukai culas di dalam akhbar juga seolah-olah kurang berkesan dengan buktinya tunggakan cukai masih tinggi.

“Tunggakan RM16 juta itu, cukai rumah sudah hampir RM15 juta dan selebihnya cukai termasuk lesen," katanya.

Bagaimana pun, menurutnya, MPT sedia berunding untuk meringankan bebas pembayar cukai ini, sama ada membayar secara ansuran atau memberi diskaun kepada faedah.

“Saya harap (pembayar cukai ini) datang segera kepada MPT, defisit bajet MPT telampau tinggi, kalau mereka ini tidak membantu, macam mana mahu membangunkan Tawau ini, sebab mereka ini tinggal di Tawau,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus