Kes dadah di Langkawi: Kedah sedia bincang dengan MKN

Mukhriz (kanan) pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mixer 5 Continental Tyre Alor Setar, di sini hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengatasi masalah dadah, aktiviti penyeludupan dan pelbagai lagi masalah di Bukit Malut, Langkawi.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya perlu juga mempertimbangkan beberapa perkara kerana melibatkan isu sensitif dengan masyarakat yang dikenali sebagai Melayu Islam Kedah (MIK).

Menurutnya, peluang berjumpa MKN akan digunakan sebaik mungkin untuk membincangkan tentang MIK yang dipertanggungjawabkan kepada majlis tersebut.

"Kami dah bincang perkara ini sekian lama dan banyak masalah-masalah di Langkawi itu tertumpu di Bukit Malut.

"Kerajaan negeri memang peka dan mula ambil tindakan. Perkara ini kita tidak mahu gembar-gemburkan dan kita juga kenal pasti zon panas dadah di Langkawi," katanya kepada sidang media selepas Majlis Perasmian Mixer 5 Continental Tyre Alor Setar, di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menempatkan pasukan tentera di Pulau Langkawi bagi menangani isu dadah, pihaknya akan berbincang dengan Kerajaan Pusat.

"Saya belum lagi mendapat maklumat mengenai penglibatan pihak tentera dalam hal ini, jika ada cadangan seperti yang dicadangkan Perdana Menteri, kita akan bincang.

“Apa yang saya faham, Tun mahu selesaikan masalah ini sekaligus kerana tidak mahu lagi (lihat) timbul isu-isu seperti ini di Langkawi yang merupakan pusat pelancongan,” katanya.

Hari ini sebuah akhbar melaporkan, Dr Mahathir melihat Langkawi memerlukan sebuah pasukan tentera yang besar untuk menjaga keseluruhan kawasan pantai, berikutan polis dan agensi penguat kuasa lain tidak mampu menjaga keselamatan pantai terutamanya aktiviti penyeludupan dadah.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia