RM3 juta peruntukan biaya tambang 400 jemaah haji Johor

Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal bersalaman dengan para jemaah haji Johor.
Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal bersalaman dengan para jemaah haji Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi membiayai perbelanjaan tambang yang akan memanfaatkan 400 jemaah haji Johor, tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, program rombongan haji Kerajaan Johor diteruskan kerana kerajaan amat prihatin dan mengambil berat mengenai keperluan masyarakat Islam di Johor.

"Malah hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri telah memungkinkan Johor untuk meneruskan pemberian tambang haji percuma dan kuota haji yang telah menjadi satu tradisi Kerajaan Negeri Johor sejak dari 1952 lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Johor Dengan Bakal-Bakal Haji Rombongan Kerajaan Johor Tahun 1440H/2019M di Persada Johor, di sini hari ini.

Sahruddin berkata, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa kerana telah berusaha mengemukakan permohonan pertambahan kuota haji.

Katanya, usaha itu dapat membantu kerajaan negeri untuk mengekalkan kuota haji negeri ini, serta menambah bilangan sedia ada pada masa depan.

"Johor juga merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai kuota haji ini.

"Kerajaan negeri percaya sebahagian daripada kemajuan dan kemakmuran Johor merupakan hasil doa-doa ikhlas jemaah haji rombongan Kerajaan Johor yang lepas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, menjadi harapan Kerajaan Johor agar para jemaah haji dapat mendoakan agar negeri ini, terus dilimpahkan keberkatan oleh ALLAH dengan kemajuan, kemakmuran, kesejahteraan serta dijauhkan dari segala malapetaka.

Selain itu, Sahruddin turut memohon jemaah haji Johor agar dapat menjaga akhlak, tingkah laku dan peribadi ketika berada di Tanah Suci.

"Anda duta kecil Johor di sana. Tanggapan serta imej bersih yang selama ini menjadi kebangsaan umat Islam Johor dan Malaysia perlu dikekalkan," katanya.