Mahkamah tolak permohonan Rosmah tak hadir prosiding pengurusan kes

Rosmah Mansor - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini menolak permohonan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk tidak menghadiri sesi pengurusan kes jenayah yang dihadapinya pada 24 Julai depan.

Hakim Azura Alwi menolak permohonan yang dikemukakan peguam bela Datuk Akberdin Abdul Kadir yang memohon supaya mahkamah memberi pengecualian itu kepada anak guamnya yang berdepan tuduhan rasuah projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak, tiga tahun lalu.

Ketika membuat keputusan itu, Azura berkata, kehadiran Rosmah dipermudahkan kerana membabitkan pemindahan kes ke peringkat Mahkamah Tinggi.

“Sekiranya kes hanya membabitkan pertukaran dokumen, pertimbangan boleh diberikan," katanya.

Sebelum itu Akberdin berkata, pihaknya memohon pengecualian itu berikutan pengurusan kes hanya perkara membabitkan formaliti.

Dalam pada itu Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri memberitahu mahkamah bahawa permohonan pemindahan kes akan didengar di Mahkamah Tinggi pada Jumaat ini.

Pada 10 April lalu, Rosmah, 68, didakwa satu lagi pertuduhan rasuah melibatkan projek itu.

Beliau didakwa menerima RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantunya Rizal Mansor.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia