Selepas Zahid berehat, ini hala tuju Umno...

Mohamad ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas MT Umno di Menara Datuk Onn, hari ini.
Mohamad ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas MT Umno di Menara Datuk Onn, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Selepas gelombang besar yang membadai Umno, parti dibawah kepimpinan pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan itu kini telah mengubah haluan tersendiri.

Mohamad berkata, jika sebelum ini Umno terumbang-ambing dan tiada arah tuju, kini beliau telah menetapkan tiga hala tuju parti iaitu memperkasakan Umno dan mengatur strategi untuk menang PRU15 serta penstrukturan semula parti.

Tegas beliau, tiga hala tuju utama Umno itu telah disepakati semua Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dengan hasrat untuk menghentikan ‘pendarahan’ dan tekanan yang dihadapi Ahli-ahli Parlimen Umno yang masih tinggal.

“Mesyuarat Khas MT Umno hari ini kita bincang panjang lebar mengenai hala tuju parti yang dikatakan tidak ada hala tuju selama ini, kita akan menjadi jurucakap rakyat.

“Strategi pertama ialah usaha perkasakan parti akan menjadi perkara utama kita, menjadi pembangkang kredibel dan efektif. Umno akan mengutip apa saja masalah termasuk kehidupan rakyat yang terhimpit, kita akan terus menjadi suara rakyat dan perjuangkan masalah dihadapi mereka.

“Kedua, Umno akan menyusun dan mengatur strategi untuk menang PRU15 dan ketiga, kita akan menyusun dan menstrukturkan semula operasi Umno dengan memberi kuasa kepada negeri-negeri agar kuasa tidak hanya berpusat di ibu pejabat,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas MT Umno di Menara Datuk Onn, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad memaklumkan hasil percakapan beliau dengan Ahli-ahli Parlimen Umno mereka menzahirkan rasa berpuas hati dengan perkembangan terbaharu Umno ini.

Katanya, jika sebelum ini setiap keputusan datangnya dari Umno Pusat, tidak ada rasa ‘sense of belonging’.

Artikel Berkaitan:

“Ini akan dibuat supaya ketua perhubungan negeri mengatur strategi, semua negeri mengguna pakai strategi yang sama untuk Umno bangkit menang PRU15.

“Selain itu, Umno telah bersetuju akan beri autonomi penuh kepada Umno Sabah. Walaupun ramai pimpinan Umno Sabah keluar parti namun, mereka akan bangkit semula,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad menyatakan pendirian Umno untuk mendesak kerajaan PH menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat dipukul ketika bertugas di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, 27 November lalu.

“Selain itu, Umno juga turut menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy untuk meletakkan jawatannya,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad yang juga kini memangku jawatan Pengerusi BN turut mengumumkan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar Pahang dilantik sebagai Pengarah PRK Cameron Highlands.

“Kita sudah buat keputusan, biasanya pengarah PRK diserahkan kepada timbalan presiden tetapi memandangkan tempat berkenaan merupakan kerusi disandang salah satu parti dalam BN, kita ambil keputusan Wan Rosdy diberi kepercayaan jadi pengarah PRK Cameron Highlands memandangkan beliau juga ketua perhubungan kawasan berkenaan,” katanya.

Berkenaan calon untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands, BN masih belum memutuskan pilihan calon yang akan bertanding di situ kerana akan dibincangkan dalam mesyuarat BN.

“Kerusi itu memang kuota MIC tapi calon belum ditetapkan,” katanya.

Isnin lalu, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mengumumkan Sivarrajaah bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu adalah antara tiga nama yang dipertimbangkan untuk dicalonkan untuk PRK itu.

Terdahulu, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dilaporkan berkata, SPR sedang menyemak undang-undang berkaitan sebelum menentukan status kelayakan Sivarraajh untuk dicalonkan semula sebagai calon pada PRK Cameron Highlands.

“Kita sedang meneliti dengan lebih lanjut laporan oleh Hakim Pilihan Raya mengenai kelayakan Sivarraajh yang juga penyandang kerusi berkenaan.

“Sekarang SPR juga sedang menunggu penasihat undang-undang dari pihak berkenaan mengenai status kelayakan itu. Selepas keputusan diterima, makluman mengenainya akan dibuat dengan segera,” katanya.