Sindiket judi online tumpas, 14 ditahan

Antara komputer dirampas yang dipercayai digunakan untuk kegiatan judi online di sebuah kondominium di Bukit Utama, Petaling Jaya, hari ini.
Antara komputer dirampas yang dipercayai digunakan untuk kegiatan judi online di sebuah kondominium di Bukit Utama, Petaling Jaya, hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 14 ahli sindiket judi online dicekup selepas Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman melakukan serbuan di sebuah kondominium di Bukit Utama, di sini hari ini.

Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, menerusi serbuan kira-kira jam 7.30 pagi tersebut, kesemua mereka yang merupakan warga tempatan termasuk remaja perempuan berusia lingkungan antara 18 hingga 61 tahun berjaya ditahan.

Katanya, dipercayai mereka berperanan sebagai pengendali serta penyelia untuk kaki judi.

"Turut dirampas dalam serbuan ini adalah 12 set komputer serta 22 unit telefon bimbit.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu di beberapa kawasan. Namun, kita percaya sindiket ini telah menjadikan kondominium ini sebagai pusat panggilan judi online sejak dua bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas serbuan tersebut, di sini, hari ini.

Rohaimi menyoal siasat beberapa individu yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan perjudian online di sebuah kondominium di Bukit Utama, Petaling Jaya, hari ini.
Rohaimi menyoal siasat beberapa individu yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan perjudian online di sebuah kondominium di Bukit Utama, Petaling Jaya, hari ini.

Ketika ditanya modus operandi sindiket ini, Rohaimi mendedahkan, sindiket kerap berpindah-randah bagi menyukarkan kegiatan dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, sindiket akan menyewa kediaman yang mempunyai 'privacy' untuk memastikan kegiatan beroperasi 24 jam sehari itu berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bagi sindiket ini, mereka telah menyewa dua unit kondominium di sini yang masing-masing berada di tingkat 15 dan 16 blok yang berlainan.

"Suspek terbabit akan mencari pelanggan yang kebanyakannya terdiri juga warga tempatan dengan mempromosikan melalui media sosial seperti WhatsApp dan Facebook.

"Soal siasat juga mendapati mereka ini juga diupah dengan gaji sekitar RM2,400 sehingga RM4,000. Kegiatan mereka juga mampu mengaut keuntungan hingga mencecah RM2 juta dalam masa sebulan," katanya.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.