Guru tidak sepatutnya rotan pelajar perempuan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menegaskan guru tidak seharusnya merotan pelajar perempuan terutamanya di bahagian badan yang tidak sepatutnya.

Beliau berkata, larangan itu tertakluk pada ketetapan yang dibuat Kementerian Pendidikan menerusi garis panduan dalam pengurusan disiplin dan kuasa merotan murid di dalam Peraturan 5, Ordinan Pelajaran 1957.

"Hukuman rotan adalah tidak dibenarkan untuk murid perempuan dan hukuman kepada murid lelaki adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau di punggung yang berlapik dengan pakaian di bawah kuasa guru besar," katanya kepada sebuah portal berita hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: KPM jamin siasatan adil kes guru pukul murid

Nie Ching berkata demikian ketika ditanya mengenai kewajaran tindakan seorang guru yang telah merotan di beberapa bahagian badan seorang pelajar perempuan kerana berkelakuan biadab di sebuah sekolah menengah di Skudai, Johor baru-baru ini.

Nie Ching berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor akan menjalankan penyiasatan mengenai kes berkenaan dengan kerjasama pihak polis.

"Saya yakin perkara ini akan dapat diselesaikan dengan baik dan saya juga ingin memohon agar semua pihak dapat bertenang dan memberi ruang kepada Jabatan Pendidikan Johor dan pihak polis untuk menjalankan siasatan sewajarnya," jelas beliau.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menegaskan akan melakukan siasatan sebaik mungkin berhubung tindakan seorang guru yang merotan seorang murid perempuan kerana menegur guru berkenaan dengan ayat “Ah qua lao Shi” (Cikgu Pondan) supaya keadilan dapat diberikan kepada kedua-dua belah pihak.

Artikel Berkaitan:

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bharu telah menjalankan siasatan dan akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa murid berkenaan.

“Saya telah menerima laporan berkenaan kejadian di mana seorang guru telah merotan seorang murid perempuan kerana menegur beliau dengan ayat “Ah qua lao Shi” (Cikgu Pondan) ketika guru tersebut lalu di koridor tanpa sebab.

“Sehubungan itu, saya mengambil maklum akan kejadian ini dan telah mengarahkan pihak PPD untuk menjalankan siasatan agar keadilan dapat diberikan kepada kedua pihak iaitu guru dan murid yang terlibat,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Maszlee menegaskan beliau menolak sebarang bentuk kekerasan terhadap murid.