Gejala chikungunya masih terkawal: Mukhriz

Mukhriz (kiri) dibawa melawat sekitar Continental Tyre Alor Setar hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Kes chikungunya yang dikesan di sekitar kompleks beli-belah City Plaza hingga menyebabkan 15 orang setakat ini positif menghidap penyakit itu mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, walaupun gejala tersebut di tahap membimbangkan, namun pihaknya melihat ia masih terkawal dan sedang diuruskan jabatan kesihatan.

"Setakat ini saya masih menanti laporan dari jabatan kesihatan negeri. Saya mohon jabatan kesihatan dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk membuat siasatan yang terperinci supaya kita memahami apa puncanya," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mixer 5 Continental Tyre Alor Setar, di sini hari ini.

Mukhriz berkata, pelbagai dakwaan timbul berhubung faktor penularan penyakit chikungunya di sekitar kawasan tersebut namun beliau menggesa ia diserahkan kepada pakar untuk memberikan gambaran sebenar.

Mukhriz (tengah) bergambar bersama barisan pengurusan Continental Tyre Alor Setar.
Mukhriz (tengah) bergambar bersama barisan pengurusan Continental Tyre Alor Setar.

Menurutnya, semburan kabus (fogging) telah dilakukan MBAS dalam usaha untuk menangani gejala penyakit berkenaan.

"Setakat ini kes denggi pun dah menurun, tapi bila berlaku chikungunya, ia agak membimbangkan. Puncanya adalah dari nyamuk dan kita kena kenal pasti dari mana ia membiak," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seramai 15 orang yang tinggal di sekitar pusat beli-belah City Plaza, dekat sini disahkan positif chikungunya selepas mangsa mengalami demam, sakit sendi dan ruam dengan gejala awal bermula 9 Jun lalu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia