SPRM diberi dua bulan warta notis kepada pihak berkepentingan

Datuk Seri Hasan Malek hadir untuk permohonan lucutan harta tujuh responden termasuk beberapa individu, syarikat, Wanita MCA, Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah melibatkan Dana 1MDB di bawah AMLATFPUAA di Mahkamah Kuala Lumpur,Kuala Lumpur. FOTO ZAHID IZZANI
Datuk Seri Hasan Malek hadir untuk permohonan lucutan harta tujuh responden termasuk beberapa individu, syarikat, Wanita MCA, Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah melibatkan Dana 1MDB di bawah AMLATFPUAA di Mahkamah Kuala Lumpur,Kuala Lumpur. FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi tempoh dua bulan untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan ke atas wang lebih RM216 juta daripada tujuh pihak yang dipercayai terlibat dalam skandal 1MDB.

Tempoh masa itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan selepas membenarkan permohonan pendakwa raya supaya pihak berkepentingan terbabit tampil ke mahkamah untuk memberikan alasan mengapa harta tersebut tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Wang berkenaan disita SPRM tahun lalu berhubung kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 melibatkan tujuh responden.

Tujuh pihak tersebut adalah UMNO; bekas Ahli Parlimen Paya Besar Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail; Wanita MCA; Syarikat pengurusan acara Binsabi Sdn. Bhd.; Syarikat pelaburan Perano Sdn. Bhd.; Badan Perhubungan UMNO Sabah; dan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek.

Mohamed Zaini membenarkan permohonan pendakwaan itu mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) AMLATFPUAA 2001.

Pewartaan notis kepada pihak ketiga bermaksud pihak ketiga yang mempunyai kepentingan dan mahu menuntut harta yang dirampas daripada responden itu harus hadir atau melalui peguam di hadapan Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 29 Julai ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada masa yang sama Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar memaklumkan pihak pendakwaan memerlukan masa dua minggu untuk memfailkan permohoman menukar nama Allahyarham Manan Ismail yang telah meninggal dunia pada 12 Februari tahun lalu kepada pemegang amanah.

Artikel Berkaitan:

Pada 19 Jun lepas, Pendakwa Raya menfailkan notis usul terhadap ketujuh-tujuh responden berhubung pelucutan hak wang berjumlah RM216,049,556.79 yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Dalam notis usul itu, Pendakwa Raya memohon suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi supaya disiarkan satu notis dalam warta di bawah Seksyen 61(2) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Daripada Aktiviti Haram 2001, bagi memanggil semua pihak ketiga yang menuntut apa-apa kepentingan dalam harta yang dirampas daripada semua responden untuk hadir atau melalui peguam di hadapan Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya pada sidang akhbarnya baru-baru ini berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.