KPM jamin siasatan adil kes guru pukul murid

Maszlee
Maszlee
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melakukan siasatan sebaik mungkin berhubung tindakan seorang guru yang merotan seorang murid perempuan kerana menegur guru berkenaan dengan ayat “Ah qua lao Shi” (cikgu pondan) supaya keadilan dapat diberikan kepada kedua-dua belah pihak.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru telah menjalankan siasatan dan akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa murid berkenaan secepat mungkin.

“Saya telah menerima laporan berkenaan kejadian di mana seorang guru telah merotan seorang murid perempuan kerana menegur beliau dengan ayat “Ah qua lao Shi” (Cikgu Pondan) ketika guru tersebut lalu di koridor tanpa sebab.

“Sehubungan itu, saya mengambil maklum akan kejadian ini dan telah mengarahkan pihak PPD untuk menjalankan siasatan agar keadilan dapat diberikan kepada kedua pihak iaitu guru dan murid yang terlibat,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Maszlee menegaskan beliau menolak sebarang bentuk kekerasan terhadap murid.

“KPM positif perkara ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat, mengikut tatacara dan SOP yang bersesuaian,” katanya.

Semalam video berdurasi lebih dua minit tular di media sosial yang memperlihatkan ibu kepada murid berkenaan cuba mendapatkan penjelasan daripada guru berkenaan.

Dalam rakaman itu, wanita terbabit turut menunjukkan kecederaan di tangan dan kaki akibat kesan rotan yang dialami anaknya.

Artikel Berkaitan: