Tiga kali diserang strok selepas kaki dipotong

Mohd Zuki ketika menerima lawatan Wan Yusrizal (kiri) hari ini.
Mohd Zuki ketika menerima lawatan Wan Yusrizal (kiri) hari ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Jika kebanyakan golongan suami menjalankan rutin harian dengan keluar bekerja mencari nafkah untuk keluarga, namun tidak bagi Mohd Zuki Sulaiman, 50, apabila dia tidak lagi mampu berbuat demikian.

Mohd Zuki dahulunya peniaga pakaian kini terlantar sejak dua tahun lalu selepas kaki kanannya dipotong akibat diabetis dan deritanya bertambah apabila tiga kali diserang strok dalam tempoh tersebut.

Isterinya, Azizah Salleh, 56, seorang kakitangan kerajaan, terpaksa mengambil keputusan bercuti tanpa gaji selama lima bulan dan dia juga berhasrat bersara awal Julai ini demi menjaga suaminya yang memerlukan perhatian rapi.

"Suami saya kini dikategorikan sebagai orang kurang upaya. Sebelum ini dia berniaga jual pakaian dan sekarang terpaksa habiskan sepenuh masa di rumah kerana penyakit yang dialaminya.

“Saya pula terpaksa bersara awal kerana suami perlukan sokongan dan penjagaan rapi," kata ibu tiga anak itu ketika menerima kunjungan Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Shafi'i, hari ini.

Azizah berkata, dia juga berharap agar permohonannya untuk mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diluluskan kerana sumber pendapatan keluarga kini amat terhad.

Wan Yusrizal yang mewakili Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengadakan lawatan ke rumah pasangan terbabit bagi memastikan mereka mendapat perhatian sewajarnya.

Hadir sama, Penolong Pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) Dun Buluh Gading, Rusni Hassan dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banggol Donas, Rosli Bidin.

Artikel Berkaitan:

Wan Yusrizal berkata, sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan telah disalurkan kepada pasangan terbabit dengan harapan dapat mengurangkan sedikit bebanan ditanggung.

Katanya, selain pasangan terbabit, dua keluarga lain yang diuji dengan kesusahan dan kesakitan di Banggol Donas turut menerima lawatan dan sumbangan daripada Ahli Parlimen Kuala Nerus.

"Kita bersimpati terhadap keluarga terbabit dan turun padang berziarah bagi memastikan mereka mendapat perhatian sewajarnya dari Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin," katanya.