Berkongsi kegembiraan dengan warga emas

Penghuni Pusat Jagaan Insan Emas Nur Hidayah sewaktu diraikan dalam majlis Hari Raya Aidilfitri.
Penghuni Pusat Jagaan Insan Emas Nur Hidayah sewaktu diraikan dalam majlis Hari Raya Aidilfitri.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Keceriaan jelas terpancar pada wajah 14 penghuni Pusat Jagaan Insan Emas Nur Hidayah di Kampung Chokro, di sini, apabila diraikan dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri, Sabtu lalu.

Program dianjurkan syarikat Time 2 Success itu juga bagi berkongsi kegembiraan bersama penghuni rumah kebajikan tersebut agar mereka tidak berasa terpinggir semasa musim perayaan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ameruddin Mohamed berkata, penganjuran majlis ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya dengan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Majlis ini juga merupakan usaha kami untuk meraikan kejayaan syarikat bersama penghuni pusat jagaan tersebut sekali gus memberi kegembiraan kepada mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Ini juga merupakan salah satu inisiatif daripada pihak kami untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan Time 2 Success terutamanya pengedar-pengedar kami di negeri Johor ini dengan warga-warga emas di sini,” katanya.

Dia ditemui semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri kerjasama di antara Time 2 Success dan Persatuan Kebajikan Badan Ikatan Amal Kasih (BAIK) di Pusat Jagaan Insan Emar Nur Hidayah, di sini, Sabtu lalu.

Menurutnya, ini merupakan kali kedua syarikatnya meraikan penghuni di pusat jagaan tersebut dan selepas kejayaan program kali pertama tiga bulan lalu iaitu melalui terapi kesihatan dan produk-produk keluaran syarikatnya.

Sementara itu, pengurus Pusat Jagaan Insan Emas Nur Hidayah, Saipul Anuar M Yusuf berkata, beliau secara peribadi menyambut baik kesudian syarikat tersebut dalam memberi kegembiraan dan meraikan penghuni di pusat jagaannya.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga kini, terdapat seramai 14 penghuni terdiri daripada sembilan lelaki dan lima wanita yang berusia di antara 40 hingga 90 tahun berasal daripada Kluang, Paloh, Muar, Simpang Renggam serta Kota Tinggi.

“Setakat ini kami terpaksa bergantung kepada duit simpanan, bayaran yuran serta penjualan produk yang dijenamakan semula kepada pusat ini bagi memastikan setiap warga emas yang ditempatkan di sini mendapat layanan yang sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, mereka yang ditempatkan di pusat jagaan ini terdiri daripada warga emas, asnaf tidak berwaris serta ibu bapa yang dihantar oleh waris mereka bagi membolehkan mendapat penjagaan yang lebih baik di pusat ini berbanding tinggal seorang diri di rumah.

Bagaimanapun, hanya penghuni yang mempunyai waris sahaja dikenakan bayaran dengan kiraan hanya satu pertiga untuk sebulan daripada kos yang dikenakan oleh pusat jagaan luar manakala penghuni lain bergantung kepada kemampuan mereka atau percuma.

“Selain itu, ada dua penghuni di pusat jagaan ini terpaksa menjalani rawatan hemodialisis dan perjalanan mereka akan diuruskan oleh pihak pengurusan dengan menggunakan kenderaan sendiri bagi mengelakkan penggunaan kos yang banyak.

“Selain saya, enam orang pembantu terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita akan sentiasa berada di pusat ini sepanjang masa bagi memastikan keselamatan, keselesaan serta kesihatan penghuni di sini sentiasa terbela,” katanya.