Kritik ilmiah tarbiyah Pas

A
A
A

TUANGURUISME ialah tunggak tarbiyah Pas. Wala' memang ada dalam Islam tetapi apakah versi Pas?

Harakahdaily pada 15 Jun 2019 dengan tajuk 'Pengikut perlu patuh, wala kepada pemimpin' telah menyimpulkan isi utama pesanan Hadi iaitu "Pengikut perlu patuh dan wala' kepada pemimpin kerana mereka lebih memahami perkara tersirat sedangkan pengikut hanya memahami perkara yang tersurat."

Hadi, atau seperti yang di laporkan oleh Harakahdaily, menjustifikasikan hujahnya dengan premis Perjanjian Hudaibiyah yang kelihatan tidak menguntungkan umat Islam pada zahirnya. Hadi berkata, "Hal ini kerana Rasulullah lebih mengetahui perkara yang tersirat walaupun perjanjian itu berat sebelah, tetapi sahabat hanya mengetahui perkara tersurat."

Berdasarkan premis ini, Harakah membuat kesimpulan iaitu: "Berikutan itu, ahli di setiap cawangan atau kawasan perlu taat dan patuh kepada pemimpin kerana mereka lebih mengerti perkara yang tersirat dalam politik dan pengikut perlu ikhlas dalam mematuhinya."

Konsep wala' versi Pas itu menimbulkan persoalan berikut: Apakah sama wala' kepada Hadi dengan wala' kepada Nabi SAW? Kalau tidak sama, mengapa qiyaskan mereka? Mendiamkan perincian persoalan ini akan mengancam agama.

Yang pertama, pengikut taksub akan semakin menjadi sehingga menyamakan perintah politik Hadi dengan perintah politik Nabi SAW kerana menganggap hanya pemimpin parti memiliki ilmu tersirat dan yang lain hanya memiliki ilmu tersurat.

Yang kedua, pengikut taksub akan mengandaikan bahawa parti Pas adalah satu-satunya yang layak digelar ummah atau jemaah. Kalau keluar daripada parti, maknanya murtad daripada ummah atau jemaah.

Apa yang tidak dinyatakan ialah sebab sebenar Nabi SAW begitu tegas membuat Perjanjian Hudaibiyah. Saidina Umar Al-Khattab telah mengkritik keputusan Baginda dengan begitu hebat tetapi Nabi SAW tidak memarahi Umar kerana isu politik adalah biasanya ijtihadi.

Artikel Berkaitan:

Tetapi isu Perjanjian Hudaibiyah adalah lain daripada yang lain. Baginda menjelaskan kepada Umar Al-Khattab, "Sesungguhnya saya adalah Rasulullah dan saya tidak akan mengingkarinya. Dia adalah Penolongku!"

WahyuDalam Bab Ash-Shuruut Fil-Jihad, Kitab Fathul Bari, Ibn Hajar Al-Asqalani telah menjelaskan frasa, "Saya tidak akan mengingkari-Nya" iaitu "zahir frasa menunjukkan Nabi SAW tidak akan melakukan demikian (Perjanjian Hudaibiyah) kecuali dengan wahyu."Jelas di sini bahawa Nabi SAW mendapat perintah wahyu untuk membuat perjanjian Hudaibiyah. Ia bukan kerana Nabi SAW mengetahui yang tersirat tapi ALLAH SWT Yang Mengetahui. Nabi SAW yakin ada perkara tersirat dalam Perjanjian Hudaibiyah kerana ALLAH SWT yang memberi wahyu kepada Baginda, bukan kerana sekadar atas sebab Baginda adalah pemimpin strategi politik seperti dakwaan Hadi.

Kalimah Nabi SAW 'Saya adalah Rasulullah' menunjukkan Nabi SAW bercakap sebagai Rasulullah yang mendapat wahyu tentang Perjanjian Hudaibiyah dan bukan sekadar sebagai pemimpin politik.

Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah sebenarnya tidak menyokong hujah Hadi. Bahkan ia adalah dalil untuk mematahkan hujah Hadi. Umar sebagai strategi politik yang jauh lebih hebat daripada Hadi tidak mampu mengetahui perkara yang tersirat dalam Perjanjian Hudaibiyah. Apatah lagi akal seorang pemimpin parti yang amat terbatas.

Nabi Muhammad ialah Rasulullah. Wala' kepada Nabi SAW jauh beza daripada wala' kepada Umar Al-Khattab. Dan wala' kepada Umar adalah jauh beza daripada wala' kepada Pas yang mengancam pula dengan bai'ah talak tiga! Apakah kerjasama politik Pas-UMNO ada hikmah tersirat yang diwahyukan kepada pemimpin Pas?Melawan budaya taksub adalah tanggungjawab semua pihak. Semua parti politik sepatutnya bersetuju untuk bekerjasama dalam isu transpolitik ini demi menjadikan ummah kita rahmatan lil' alamiin, bukan rahmatan lil-parti.

Ini sepatutnya menjadi agenda ummah supaya kita tidak selangkah demi selangkah masuk ke lubang biawak Yahudi yang menyemai budaya taksub menjadikan tuan guru-tuan guru agama sebagai arbaab min duunillaah.

"Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan-tuhan selain daripada ALLAH (arbaab min duunillaah), dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa" (At-Taubah: 31)* Abdul Naser ialah Ketua Kluster Silang Budaya NUIM-YADIM