Baru 32 tahun, dah 51 kali derma darah

Mohd Fuad sudah menderma darah sebanyak 51 kali pada usia 32 tahun.
Mohd Fuad sudah menderma darah sebanyak 51 kali pada usia 32 tahun.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bagi sesetengah orang, menderma darah mungkin agak menakutkan namun tidak bagi seorang anak muda yang sudah 51 kali menderma darah pada usia 32 tahun.

Mohd Fuad Afifi Zahkai yang kini bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bukan sahaja berasa seronok menderma darah bahkan menjadikannya sebagai amalan.

Menurutnya, dia mula menderma darah pada usia 18 tahun ketika mengikuti Program Latihan Khidmat Negara di Cheneh, Kemaman sebelum melakukannya pada setiap bulan.

"Mula-mula selepas menderma, rasa seronok dan mudah saja sebenarnya. Tujuan saya hanya satu iaitu nak bantu orang yang memerlukan, terutamanya mangsa kemalangan dan ibu bersalin.

“Saya juga ada baca kelebihan orang yang menderma darah, antaranya mengurangkan risiko sakit jantung. Walaupun kita bantu orang, kita juga dapat kelebihannya selain dapat pahala," katanya.

Dia ditemui Sinar Harian selepas menderma darah buat kali ke 51 pada Program Derma Darah anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.

Mohd Fuad berkata, dia yang pernah terlibat kemalangan turut menerima manfaat kerana sering menderma darah.

Mat Azmi (tiga dari kiri) beramah dengan peserta derma darah.
Mat Azmi (tiga dari kiri) beramah dengan peserta derma darah.

Artikel Berkaitan:

"Saya sendiri pernah kemalangan pada tahun 2009 dan menariknya saya tidak perlu membuat sebarang bayaran kerana aktif menderma darah.

"Saya percaya, bila kita tolong orang, orang akan tolong kita pula. Mungkin pertolongan itu bukan dalam bentuk darah, tapi dipermudahkan segala urusan lain,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad berkata, program yang berlangsung di Dewan Terbuka JHEAT itu mendapat sambutan hangat dan 57 orang didapati layak menderma darah.

Menurutnya yang juga Penasihat Badan Kebajikan dan Sukan Jabatan Agama Terengganu (Berkat), program itu dilaksanakan bagi menampung keperluan tabung darah HSNZ.

“Kita juga ingin memupuk sifat kasih sayang dalam kalangan kakitangan di samping sedia membantu apabila diperlukan.

“Sebenarnya ramai yang ingin menderma tapi ada sebahagiannya yang tidak layak atas faktor kesihatan. Melihatkan sambutan yang cukup hebat ini, kita berhasrat untuk meneruskannya pada masa akan datang,” katanya.