Pihak berkuasa mampu tangani isu dadah di Langkawi

Abu Bakar mendengar taklimat kejadian banjir daripada salah seorang pegawai Angkatan Pertahanan Awam di pusat pemindahan SMK Kedawang, Kuah, Langkawi, hari ini.
Abu Bakar mendengar taklimat kejadian banjir daripada salah seorang pegawai Angkatan Pertahanan Awam di pusat pemindahan SMK Kedawang, Kuah, Langkawi, hari ini.
A
A
A

LANGKAWI - Pihak berkuasa diyakini mampu melaksanakan langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih tegas bagi membanteras masalah dadah yang dilaporkan bebas dibawa masuk ke pulau peranginan negara, Langkawi.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, perangkaan terkini operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras dadah di pulau berkenaan yang menyaksikan peningkatan jumlah tangkapan dalam tempoh tiga tahun bermula pada 2017.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh sepanjang tahun lalu sebanyak 1,196 tangkapan membabitkan 826 kes berkaitan dadah dilakukan berbanding tahun sebelumnya iaitu 978 tangkapan melibatkan 732 kes.

"Dalam tempoh lima bulan tahun ini iaitu dari Januari hingga Mei, 493 tangkapan telah dilakukan melibatkan 358 kes.

"Saya yakin dan percaya usaha agresif yang dijalankan berterusan oleh polis dengan sokongan pihak berkuasa lain mampu menangani isu lambakan dadah di Langkawi.

"Ini sekali gus melindungi rakyat khususnya anak-anak muda daripada terjebak dengan gejala pengedaran dan penyalahgunaan bahan terlarang ini," katanya di sini hari ini.

Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu (Bersatu) berkata demikian sebagai mengulas pendedahan sebuah akhbar semalam yang mendedahkan mengenai dadah yang bebas dibawa masuk ke pulau peranginan terkenal itu.

Dalam laporan itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, jika masalah lambakan bahan terlarang tersebut tidak dibanteras segara, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti.

Artikel Berkaitan:

Menurut Abdul Hamid, perkara itu juga telah disuarakan secara peribadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang begitu bimbang ancaman kegiatan dadah ini yang dilihat seolah-olah tidak terkawal.

Abu Bakar Yahya (dua dari kanan) bertanya khabar aalah seorang mangsa banjir yang dipindahkan di SMK Kedawang, Kuah, Langkawi, hari ini.
Abu Bakar Yahya (dua dari kanan) bertanya khabar aalah seorang mangsa banjir yang dipindahkan di SMK Kedawang, Kuah, Langkawi, hari ini.

Pada masa sama, Abu Bakar menyokong penegasan Dr Mahathir hari ini yang mahukan pasukan tentera yang besar bagi mengawal keselamatan pulau Langkawi termasuklah mengawal aktiviti penyeludupan dadah.

Terdahulu, Abu Bakar melawat 47 mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang, Kuah di sini hari ini.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr. Hezri Adnan dan wakil peribadi Ahli Parlimen Langkawi, Shukor Bahari.

Kesemua mangsa daripada 12 keluarga itu melibatkan penduduk di lima kampung iaitu Kampung Bohor Masjid, Kampung Paya Mempelam, Kampung Tanjung, Kampung Bohor Tempoyak dan Kampung Gelam.

Mereka dipindahkan ke pusat pemindahan berkenaan selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat sejak malam semalam.

"Saya dimaklumkan punca kejadian akibat hujan lebat dan keadaan bertambah buruk akibat saliran yang tidak berfungsi dengan baik selain keadaan air laut pasang.

"Namun, keadaan mereka setakat ini bertambah baik hasil bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan dan para pengusaha pusat peranginan.

"Kita harap mereka dapat pulang ke kediaman masing-masing secepat mungkin dan saya turut sampaikan salam Perdana Menteri kepada mereka," ujar Abu Bakar.